Tuesday, February 1, 2011

HILAN FOKUS PUNCA KALAH



Aksi berbeza dua pengendali, M Karathu dan K Devan dalam perlawanan Selangor menentang Kelantan di Stadium Shah Alam, malam semalam.

SHAH ALAM – Tidur lena Ketua Jurulatih Selangor, K Devan terganggu apabila pasukan kendaliannya membuka tirai aksi Liga Super musim ini dengan episod kedukaan setelah tumpas 0-2 kepada Kelantan dalam perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Shah Alam, malam semalam. 

Selangor bukan sahaja gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenangi sejak dua musim lalu tetapi rekod tanpa kalah pasukannya ke atas Gergasi Pantai Timur di Stadium Shah Alam sejak sekian lama akhir lebur menerusi jaringan Norshahrul Idlan Talaha dan Muhd Badhri Radzi.

“Kita tidak bermain dengan baik apabila ketinggalan satu gol dan ini telah menyebabkan corak permainan kita berubah. Selepas 25 minit, baru saya tengok pemain kita bermain lebih baik  dan mempunyai banyak peluang menghasilkan gol namun penyudah kita gagal berfungsi,” katanya dalam sidang akhbar ringkas selepas perlawanan. 

“Pada separuh masa kedua memang ada peningkatan dan kita menguasai sebahagian perlawanan dalam tempoh tersebut. Kita mencipta banyak peluang menjaringkan gol namun sekali lagi kita gagal membuktikan melalui jaringan. Sebaliknya kita kena gol menerusi tendangan percuma.

“Kelantan tidak menjaringkan gol menerusi gol padang dimana mereka perlu menewaskan pertahanan Selangor. Daripada ‘setpiece’ ini mereka berjaya menjaringkan gol padahal kita turut mempunyai banyak peluang apabila berjaya memerangkap pertahanan Kelantan namun kita masih gagal menjaringkan gol,” katanya. 

Devan mengakui walaupun mempunyai kelebihan beraksi digelanggang sendiri namun pasukan Selangor jelas beraksi dibawah keupayaan sebenar dalam perlawanan itu dan rata-rata barisan pemain skuad kebangsaan yang diturunkan juga mempamerkan aksi mengecewakan.

“Kebanyakkan pemain baru balik daripada skuad kebangsaan, dimana mereka telah bermain dengan baik dan menang piala . Pemikiran pemain dan fokus mereka untuk perlawanan pertama ini boleh dikatakan tidak baik.

“Boleh dikatakan rata-rata pemain kebangsaan yang diturunkan tidak menunjukkan aksi sebenar mereka. Saya rasa ini salah satu faktor kekalahan kita. Kita ada dua peluang iaitu satu terkena palang dan satu lagi diselamatkan oleh pemain pertahanan Kelantan diatas garisan gol walaupun penjaga gol mereka sudah tertewas. 

“Boleh dikatakan nasib kita kurang baik. Padahal dalam tempoh 90 minit barisan pertahanan kita tidak tertewas. Kekalahan ini kena pada masanya dan menjadi pengajaran kepada pemain yang kurang fokus dan kita harus belajar daripada kekalahan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment