Wednesday, February 2, 2011

PENYU IKAT KIJANG

Dua pemain Kelantan, Zairul Fitree Ishak dan Mohd Nurul Azwan Roya cuba melepasi kekangan dua pemain pertahanan Terengganu
 KELANTAN 1
Muhd Badhri Radzi (m-35)

TERENGGANU 1
Mohd Marzuki Yusof (m69)

KOTA BHARU – Hajat Kelantan untuk meraih tiga mata penuh dalam perlawanan pertama ditempat sendiri tidak kesampaian apabila diikat seri 1-1 oleh musuh tradisi, Terengganu dalam perlawanan kedua Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam tadi.

Biarpun beraksi dihadapan hampir 25,000 penyokong sendiri, jelas Kelantan gagal menggunakan kelebihan tersebut sebaliknya aksi longlai pada separuh masa kedua menceritakan peluang untuk mencipta kemenangan kedua dalam saingan liga tampak begitu sukar dalam perlawanan malam tadi.

Pasukan pelawat memulakan aksi garang seawal minit keempat apabila pemain tengahnya, Josep Kalang Tie yang bijak melepasi perangkap ofsaid pertahanan Kelantan sempat melepaskan sepakan namun Mohd Farisham Ismail terlebih dahulu menghadang sepakan tersebut.

Dua minit berselang, giliran Kelantan menguji pintu gol Terengganu apabila Mohd Shakir Shaari bijak melorongkan bola namun penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha dikesan berada dalam kedudukan ofsaid oleh penjaga garisan.

Pada m-9, Kelantan diberikan sepakan percuma setelah Norshahrul Idlan dikasari oleh pemain pertahanan Terengganu diluar kotak penalti sebelah kanan pintu gol. Sepakan percuma mengelirukan Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi ditumbuk keluar Mohd Sharbinee Allawee Ramli untuk memastikan pintu gol Terengganu terselamat daripada dibolosi.

Dua minit kemudian, Kelantan sekali lagi hampir berada didepan setelah hantaran jauh Danial Fadzly Abdullah kepada Mohd Nurul Azwan Roya dimanfaatkan menerusi gerakan solonya yang membawa masuk ke kawasan merbahaya pasukan pelawat tetapi rembatannya mudah dibaca Mohd Sharbinee Allawee.

Terengganu yang mempertaruhkan gandingan penyerang kebangsaan, Mohamad Ashaari Samsudin dan bekas pemain T-Team, Abdul Hadi Yahya seakan tenggelam punca sebaliknya pemain tengahnya, Josep Kalang dilihat lebih menyerah dalam perlawanan malam tadi mengatur gerakan merbahaya untuk pasukan mereka.
Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat cuba menumbuk bola walaupun diasak oleh penyerang Terengganu, Mohd Fukhrarazi Musa

Pada m-34, anak buah Datuk M Karathu sekali lagi kempunan untuk meraikan jaringan pertama apabila hantaran silang Solehin Kannasian Abdullah dikeluarkan Reeshafiq Alwi setelah Mohd Sharbinee Allawee terlepas bola tangkapannya.

Selang seminit kemudian, detik yang dinantikan akhirnya tiba apabila pemain sayap, Mohd Nurul Azwan yang meloloskan dirinya daripada sebelah kanan pintu gol pasukan pelawat melakukan hantaran lintang dan mudah disempurnakan Muhd Badhri untuk menghasilkan gol pertama Kelantan.

Minit-minit akhir separuh masa pertama, Kelantan mempunyai sekurang-kurangnya tiga peluang terbaik untuk menambahkan gol menerusi percubaan Norshahrul Idlan, Danial Fadzly dan Muhd Badhri namun ketangkasan Mohd Sharbinee Allawee menafikan hajat Kelantan.

Bersambung babak kedua, Terengganu yang melakukan sepakan mula dilihat lebih garang menyerang ke pintu gol Kelantan sementara aksi mendatar jentera tengah Kelantan menyaksikan tidak banyak gerakan merbahaya yang terhidang malahan benteng pertahanan pula dipaksa bekerja keras mengekang asakan pasukan pelawat.

Pada m-69, Terengganu berjaya memperolehi gol penyamaan menerusi tandukan menarik Ketua Pasukannya, Mohd Marzuki Yusof yang menerima hantaran lintang Josep Kalang daripada sebelah kiri pintu Kelantan.

Tenyata gol tersebut membangkitkan semangat membara pemain pasukan pelawat apabila mempunyai dua peluang terbaik pada m-70 dan 73 perlawanan menerusi serangan balas pantas Abdul Hadi dan Josep Kalang tetapi penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat jelas berada diprestasi kemuncaknya menafikan percubaan dua pemain tersebut.

Percaturan taktikal Karathu memasukkan dua pemain penyerang iaitu Mohd Khalid Jamlus dan Mohd Nizab Ayub untuk menambahkan sengat jentera hadapan Kelantan dalam tempoh 20 minit terakhir tidak banyak membantu dalam merencana gerakan merbahaya Kelantan.

Namun disebalik aksi sederhana pemain Kelantan dalam perlawanan malam tadi, pemain pertahanan, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid sempat mencuri perhatian apabila menanduk tepat ke pintu gol Terengganu setelah menerima hantaran menerusi sepakan percuma Muhd Badhri pada m-85 perlawanan.

Minit-minit akhir perlawanan, kesilapan pemain pertahanan Kelantan, Mohd Farisham yang lambat mengeluarkan bola mudah direbut Abdul Hadi yang melakukan larian solo tetapi rembatannya terus ke dakapan Khairul Fahmi. Sementara itu percubaan daripada luar kotak penalti oleh Mohd Khalid yang diselamatkan Mohd Sharbinee Allawee menutup tirai aksi kedua-dua pasukan berkongsi mata dalam perlawanan malam tadi.

Kesebelasan utama pemain : 

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Radzi (KP), Solehin Kanasian Abdullah (Mohd Nizab Ayub), Mohd Shakir Shaari (Khairan Eroza Razali), Danial Fadzly Abdullah (Mohd Khalid Jamlus) dan Norshahrul Idlan Talaha.
FORMASI : 4-5-1

TERENGGANU : Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Nik Zu Aziz Nawawi, Hasmizan Kamarodin, Helmi Remeli, Mohd Marzuki Yusoff (KP), Ismail Faruqi Ashari (Ahmad Nordin Alias), Josep Kalang Tie (Mohd Fakhrurazi Musa), Reeshafiq Alwi, Mohd Zharif Hasna,Abdul Hadi Yahya dan Mohamad Ashaari Shamsuddin
FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN
Percubaan tepat : Kelantan (6) Terengganu (3)
Percubaan tersasar : Kelantan (6) Terengganu (2)
Sepakan sudut : Kelantan (6) Terengganu (12)
Sepakan percuma : Kelantan (24)  Terengganu (16)
Offsaid : Kelantan (4) Terengganu (10)
Kekasaran : Kelantan (12) Terengganu (12)
Kad kuning : Kelantan (Solehin Kanasian Abdullah, Danial Fadzly Abdullah, Mohd Farisham Ismail ) Terengganu (Mohamad Ashaari Shamsuddin, Reeshafiq Alwi)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :  Empat minit
Penguasaan bola : Kelantan (52%) Terengganu (48%)

PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil : Mohd Romzi Zahari
Penolong Pengadil 1: Azrul Zairil Abdul Hamid
Penolong Pengadil 2: Mohd Fazli Ishak
Pegawai Keempat : Mohd Ezani Said
Komisionel Perlawanan : Jamil Zakaria
Pegawai Penilai : Othman Omar
General Kordinator : Arif Hassan

No comments:

Post a Comment