Tuesday, February 8, 2011

KELANTAN MULAKAN AKSI SULUNG

Zahasmi (berbaju oren) menyatakan sesuatu kepada pemain ketika sesi pemilihan di Kota Bharu tidak lama dulu

KOTA BHARU – Ketika saingan Liga Super sudah pun mengharungi dua perlawanan, saingan Liga Piala Presiden pula akan membuka tirainya apabila Kelantan dijadualkan menentang pasukan Johor FC dalam perlawanan pertama di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu  pada petang Khamis ini.

Musim ini dengan penampilan berbeza dimana hampir keseluruhan pasukan disuntik  wajah baru, Kelantan sekali mempertaruhkan reputasi bekas pemain negeri, Zahasmi Ismail, jurulatih yang membawa Kelantan muncul juara Piala Emas Raja-Raja musim lalu untuk terus mengemudi pasukan pelapis negeri ini.

Bagi Zahasmi, mungkin beliau tidak menghadapi tugas sukar membimbing pemain Kelantan musim ini kerana pada tahun lalu, beliau pernah menjadi pembantu kepada Anizan Daud ketika melatih pasukan Piala Presiden Kelantan.

Dibantu dua bekas pemain negeri, Mohd Nafuzi Mohd Zain dan jurulatih penjaga gol yang tidak asing lagi iaitu Hamid Ramli, Zahasmi kini tidak keseorangan sebaliknya mempunyai tenaga pembantu yang cukup memahami intipati beliau dalam membimbing pasukan Kelantan musim ini.

Dengan mengekalkan 11 pemain musim lalu serta menyenaraikan beberapa pemain bertaraf professional seperti Mohd Zamri Ramli, bekas pemain Harimau Muda, Mohd Khairul Izuan Rosli serta pemain yang menimba pengalaman bersama pasukan remaja Cardiff City, Nicholas Chan Meng Jin, boleh dikatakan pasukan yang dibentuk musim ini antara yang terbaik sejak tiga tahun lalu.

Namun pada masa yang sama terpikul tanggungjawab yang cukup berat bagi Zahasmi dan pembantunya untuk memulihkan kembali kemerosotan prestasi  yang dihadapi skuad Piala Presiden Kelantan sejak dua tahun lalu.

Setiap kali kejohanan Piala Presiden dianjurkan, pasukan Kelantan antara beberapa nama negeri yang wajib berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik Namun kegagalan melangkah ke peringkat suku akhir sejak dua musim lalu merupakan satu tamparan yang cukup hebat bagi pasukan Kelantan.

Disinilah bermulanya tugasan penting bagi pihak pengurusan skuad Piala Presiden Kelantan untuk memulihkan kembali maruah yang tercalar sejak dua tahun lalu. Biarpun kejohanan ini diibarat kelas kedua dalam pertandingan tempatan namun disinilah bermula platform untuk melahirkan bakat-bakat muda yang akan mewakili pasukan senior pada masa akan datang.

Untuk saingan musim ini, segalanya tampak serba sempurna dengan memiliki kualiti pemain yang hebat, barisan pihak pengurusan yang berwajah baru dan majikan yang sudah pasti tidak berdepan dengan kekangan kewangan dan peminat bola sepak tempatan sudah pasti tertunggu-tunggu sinar kejayaan daripada pasukan pelapis negeri ini. 

No comments:

Post a Comment