Tuesday, February 8, 2011

HARI KELUARGA KELATE.NET MERIAH

Ahli Kelab Kelate.Net dan keluarga masing-masing bergambar bersama sejurus majlis penutup program sambutan Hari Keluargakelab berkenaan baru-baru ini. 

BACHOK – Sambutan Hari Keluarga Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net) yang diadakan di Bayu Melawi Chalet, Pantai Melawi baru-baru ini berlangsung penuh meriah apabila 107 peserta termasuk dalam kalangan ahli keluarga kelab berkenaan menyertai program tersebut.

Pengarah Program, Mahizi Mahmood berkata, ini merupakan kali kedua penganjuran program sambutan hari keluarga itu diadakan selepas pertama kali ianya diadakan di Port Dickson, Negeri Sembilan dua tahun lalu.

“Alhamdulilah program ini mendapat sambutan menggalakkan dan ianya diadakan bersesuaian dengan sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini dimana kebanyakkan  ahli Kelate.Net yang berada diperantauan pulang bercuti di kampung masing-masing,” katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini. 

“Kalau dahulu kita memilih lokasi di luar Kelantan, tetapi pada kali ini kita memilih lokasi pusat peranginan di negeri ini sebagai venue penganjuran program ini. Bermula tahun ini, kita merancang akan mengadakan aktiviti ini pada setiap tahun dan ianya akan menjadi salah satu aktiviti tahunan pihak Kelate.Net.

“Penganjuran program ini sudah pasti memberi peluang kepada semua ahli kelab bertemu diantara satu sama lain disamping mengeratkan hubungan silaturrahim diantara ahli keluarga mereka yang hadir,” katanya.

Menurut Mahizi, pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang hari keluarga itu berlangsung selama dua hari dan golongan kanak-kanak juga turut tidak ketinggalan menyertai acara sukaneka itu.

“Selain daripada acara bola sepak pantai, kita turut mengadakan acara barbeku pada sebelah malam. Kita juga turut menawarkan cenderamata yang menarik kepada ahli yang berjaya menjawab dengan tepat soalan yang kita sediakan dalam sesi tersebut.

“Hadiah-hadiah yang ditawarkan seperti jersi, topi The Red Warriors, beg, vuvuzela, dan hamper yang ditawarkan dalam aktiviti ini cukup menarik dan sentiasa menjadi rebutan kepada ahli yang menyertainya.

“Bagi pihak Kelate.Net, kami merakamkan ucapan terima kasih kepada Bahagian Mechandise dan Outlet Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan Syarikat Haz Jaya yang sudi menyumbangkan barangan tersebut kepada pihak kami bagi menjayakan program ini. Juga kepada Ahli Jawatankuasa Program yang bertungkus lumus menjayakan aktiviti ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kelate.Net, Mohd Khairi Yazid dan Ahli Jawatankuasa Tertingginya, Lokman Bonyamin yang turut hadir telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang dalam majlis penutup program tersebut.

2 comments:

  1. Pantai Melawi, sebelah kampung Pak Man tu.....

    ReplyDelete
  2. ada jugak gambar kawe..tima kasih idola..

    ReplyDelete