Wednesday, February 9, 2011

KELANTAN JANJI AKSI TERBAIK


KOTA BHARU – Pasukan Piala Presiden Kelantan kini berada dalam situasi terbaik untuk mengharungi saingan Liga Piala Presiden pada musim ini dengan menghimpunkan pemain-pemain berkaliber.

Penolong Pengurusnya, Mohd Yusri Ismail berkata, usaha membentuk pasukan yang mantap sudah bermula sejak beberapa bulan lalu dan ini akan dibuktikan dalam perlawanan sulung menentang pasukan Johor FC di Stadium Sultan Muhammed IV, 4.45 petang esok.

“Kita sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi perlawanan pertama ini. Walau bagaimanapun, kita tetap menghormati keupayaan pasukan Johor FC selaku naib juara musim lalu yang dibimbing oleh bekas jurulatih Liga Super mereka, Ramlan Rashid ,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam. 

“Sudah pasti aksi beberapa pemain yang pernah menimba pengalaman menjalani latihan bersama pasukan Liga Super Kelantan musim lalu dan pasukan Piala Emas Raja-Raja Kelantan sebelum ini dinantikan penyokong setia Kelantan.

“Kita memenangi perlawanan persahabatan terakhir menentang Terengganu di tempat lawan baru-baru ini dan  saya berharap situasi itu kekal untuk kita meraih tiga mata pertama di Kota Bharu sebelum bertandang ke Kota Kinabalu bagi menghadapi pasukan Sabah pada 17 Februari nanti,” katanya. 

Mohd Yusri berkata, beliau tetap menaruhkan kepercayaan yang tinggi keupayaan pengendali pasukan, Zahasmi Ismail yang dibantu Mohd Nafuzi Mohd Zain dan Hamid Ramli bagi memacu pasukan Kelantan mencipta kejutan dalam saingan liga musim ini. 

“Antara pemain Liga Super yang berada dalam skuad Piala Presiden dan akan diturunkan menentang Johor FC nanti ialah Mohd Khairul Izuan Rosli dan Mohamad Zamri Ramli.

“Sementara itu, pemain pasukan Piala Emas Raja-Raja Kelantan yang akan diturunkan ialah Mohd Aris Zaidi, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim (kapten), Muhammad Izuan Mohd Salahuddin dan Tuan Muhammad Norhafizie Tuan Mahmood.

“Selepas menentang Johor FC dan Sabah, kita akan menanti kunjungan Kedah pada perlawanan 21 Februari di Kota Bharu sebelum bertandang ke Kangar menentang Perlis tiga hari kemudian.  

Menurut Mohd Yusri, kredibiliti Zahasmi serta komitmen para pemain yang ditunjukkan setakat ini memberi keyakinan kepadanya untuk Kelantan mara ke pusingan seterusnya dan mengakhiri pencapaian terburuk gagal melangkah ke peringkat suku akhir sejak dua tahun lalu. 
 
Barisan Kemungkinan;
Mohamed Faiz Suhaimi, Faizol Nazlin Sayuti, Mohd Khairul Izuan Rosli, Muhammad Farhan Yaakub, Mohamad Zamri Ramli, Mohamad Aris Zaidi, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim (Kapten), Mohamad Syawal Rudin Abdul Rahim, Muhamad Syazwan Yusof (Penjaga Gol), Muhammad Izuan Mohd Salahuddin dan Tuan Muhamad Norhafizie Tuan Mahmood.

Jadual Piala Presiden membabitkan Kelantan (Pusingan Pertama)
10 Feb – Kelantan lwn Johor FC
17 Feb – Sabah lwn Kelantan
21 Feb – Kelantan lwn Kedah
24 Feb – Perlis lwn Kelantan
7 Mac – Kelantan Selangor
14 Mac – Pulau Pinang lwn Kelantan
17 Mac – Kelantan lwn Perak
21 Mac – Terengganu T-Team lwn Kelantan
24 Mac – Kelantan lwn SSBP
28 Mac – KL Sime Darby lwn Kelantan

1 comment: