Wednesday, February 9, 2011

Al-Jabbar, Yusmira teruja taja TRW


Azlan (kiri) dan Mohd Kamaruzaman (kanan) bersama Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Muhammad Nasir Hamzah antara orang kuat penaja bersama pasukan The Red Warriors musim ini

KOTA BHARU – Dua syarikat anak tempatan negeri ini meneruskan tanggungjawab sosial korporat masing-masing apabila menjadi antara penaja bersama pasukan The Red Warriors musim ini.

Untuk tahun kedua berturut-turut, Yusmira Trading Sdn Bhd, sebuah syarikat yang memasarkan pelbagai produk berasaskan kesihatan sekali lagi meneruskan kesinambungannya apabila menyumbang sejumlah RM200,000 untuk pasukan bola sepak Kelantan musim ini.

Pengerusinya, Datuk Azlan Muhammad berkata, melihat kepada kejayaan Kelantan menjulang Piala Malaysia musim lalu, pihaknya amat berbesar hati untuk meneruskan tajaan pada musim kedua ini.

“Kita bersetuju untuk menaja pasukan Kelantan pada musim ini dengan menyumbang RM200,000. Selain dalam bentuk wang tunai, kita juga turut menaja dalam bentuk pengiklanan dengan radio serta mencetak banting berkaitan bola sepak Kelantan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.

“Ini merupakan salah satu usaha pihak kami dalam memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kebangkitan bola sepak Kelantan sejak tiga tahun kebelakangan ini. Daripada segi tajaan, kita bersedia meneruskan penajaan pada masa akan datang dengan tajaan yang lebih lumayan lagi.

“Saya berharap syarikat-syarikat korporat di negeri ini turut sama memikul tanggungjawab membantu memartabatkan kembali kegemilangan bola sepak negeri ini setelah kita menjulang Piala Malaysia buat pertama kali pada tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif  Al-Jabbar Group, Mohd Kamaruzaman Che Hussain berkata, beliau merakamkan perasaan terharu kerana diberi peluang oleh pihak Kafa untuk menjadi penaja bersama pasukan Kelantan pada musim ini.

“Saya sebenarnya meminati bola sepak Kelantan sudah lama tetapi pada tahun ini baru bersedia untuk menaja pasukan Kelantan. Daripada segi penajaan, ianya merupakan satu bentuk ‘situasi menang-menang’ daripada pihak Kafa dan kerana pada masa yang sama saya boleh memperkenalkan jenama Al-Jabbar kepada rakyat di negeri ini. 

“Sebagai anak watan negeri ini, saya ingin menjadi contoh kepada syarikat-syarikat korporat yang dimiliki anak Kelantan yang lain untuk menaja pasukan ini kerana kita mahu menjadikan sukan bola sepak ini sebagai satu gaya hidup rakyat negeri ini.

“Kita tidak mahu peminat sekadar pergi ke stadium menyaksikan perlawanan dan selepas itu pulang begitu sahaja. Bila ada perlawanan di Kota Bharu, kita mahu semua peminat menyemarakkan suasana bermula daripada waktu pagi sehingga tamat perlawanan. Ini yang saya mahu lihat perubahan senario peminat bola sepak di negeri ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment