Thursday, February 10, 2011

KERAJAAN NEGERI RUJUK KAFA


ABDUL FATTAH MAHMOOD

KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan akan merujuk kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berhubung isu empat bekas pemainnya yang dinafikan hak pemberian bonus diatas kejayaan menjulang trofi Piala Malaysia pada tahun lalu.

Semalam, sebuah akhbar melaporkan empat tonggak The Red Warriors (TRW) musim lalu iaitu Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad, Azizi Matt Rose dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli meluahkan kekecewaan mereka apabila nama mereka disisihkan daripada senarai  penerima bonus tersebut meskipun telah membantu skuad TRW menjulang piala tersebut tahun lalu.

Kerajaan Negeri Kelantan melalui satu majlis rasminya pada 25 Januari lalu telah menyampaikan ganjaran berjumlah RM200,000 kepada pemain dan pegawai pasukan bola sepak Kelantan diatas kejayaan mereka membawa pulang Piala Malaysia buat pertama kali ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fattah Mahmood berkata, ganjaran tersebut diberikan kepada pemain dan pegawai pasukan berdasarkan kejayaan skuad Kelantan menjuarai Piala Malaysia musim lalu.

“Nilai ganjaran tersebut diberi setelah diputuskan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri tidak lama dulu. Kita telah minta pihak Kafa menentukan kepada siapa ganjaran tersebut hendak diberi dan berapa jumlah yang ditetapkan kepada setiap pemain dan pegawai pasukan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kota Bharu semalam.

“Kita menerima senarai nama mengikut apa yang telah dihantar oleh pihak Kafa. Jadi sekiranya ada apa-apa perkara berlaku, saya akan menyemak semula perkara tersebut dengan pihak Kafa dan kalau benar ianya berlaku, saya memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan kenyataan yang sebenar daripada pihak Kafa.

“Tetapi yang penting keputusan (pemberian bonus) pihak Kerajaan Negeri adalah berdasarkan kepada kejayaan membawa pulang Piala Malaysia ke negeri ini buat pertama kali. Soal agihan kita kena merujuk kepada pihak Kafa. Pihak Kerajaan Negeri cuma menghantar surat kepada Kafa untuk mendapatkan senarai nama dan juga jumlah setiap penerima ganjaran tersebut,” katanya.

Menurut Abdul Fattah, setiap pemain dan pegawai pasukan menerima jumlah bonus yang berbeza dan difahamkan ianya sekitar antara RM,7000 hingga RM 7,500 setiap bagi setiap individu.

Sementara itu ketika ditanya pemberita mengenai hadiah rumah seperti dijanjikan kepada wira negara, Khairul Fahmi Che Mat yang membantu skuad kebangsaan menjulang Piala AFF Suzuki pada penghujung tahun lalu, Abdul Fattah menjelaskan mesyuarat Exco pada hari ini telah meluluskan pembinaan rumah tersebut.

“Hari ini kita telah membuat keputusan dan mesyuarat Exco telah meluluskan dan kita akan membina sebuah rumah di Taman Kurnia Jaya, dekat Pengkalan Chepa  bersebelahan dengan rumah Nik Nur Madhiah Nik Mohd Kamal (pelajar terbaik SPM 2008 negeri Kelantan).

“Insya Allah ianya akan dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan pelan rumah tersebut telah pun dipersetujui oleh kerajaan negeri. Pembinaan rumah tersebut dijangka akan dapat disiapkan menjelang pertengahan tahun ini.

“Kos keseluruhan pembinaannya melebihi RM100,000 dan ianya merupakan sebuah rumah banglo setingkat dengan keluasan rumah 1,000 kaki persegi. Menteri Besar (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) meminta sedikit perubahan dengan menampilkan rekabentuk binaannya bercirikan Islamik.

“Peruntukan wang daripada pihak kerajaan negeri sementara PKINK pula menyediakan tapak tanah untuk pembinaan rumah tersebut. Ini bermakna hadiah rumah kepada Khairul Fahmi (Che Mat) ini merupakan kerjasama di antara pihak kerajaan negeri dan PKINK,” katanya.

No comments:

Post a Comment