Saturday, February 12, 2011

KAFA MAHU JADI ORGANISASI TERBAIK


Sebahagian pegawai pasukan, jurulatih dan pemain bola sepak Kelantan yang menghadiri Majlis Perjumpaan bersama Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa di Kota Bharu dua hari lalu. 

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bersedia menjadi sebuah badan sukarela yang bergerak aktif, diurus tadbir dengan cara yang baik serta mempunyai ketelusan dalam sistem pengurusannya bagi memastikan segala misi dan visi yang ditetapkan tercapai.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, memandangkan Kafa ketika ini menjadi satu organisasi yang cukup besar, falsafah pengurusannya amat memerlukan ketiga-tiga elemen tersebut bagi menjadikan ianya sebuah persatuan sukan yang mantap di negeri ini.

“Buat pertama kalinya saya bertemu dengan warga besar organisasi Kafa yang melibatkan pegawai sepenuh masa, pegawai kontrak, tenaga jurulatih, pemain empat pasukan iaitu Liga Super, Piala Presiden, Piala Belia dan pasukan Akademi dalam majlis ini,” katanya pada majlis perjumpaan bersama kakitangan, pegawai pasukan dan pemain bola sepak Kelantan di Auditorium KADA, Kota Bharu dua hari lalu.

“Saya fikir Kafa sudah menjadi satu organinasi yang cukup besar dalam kalangan negeri-negeri ketika ini. Dibawahnya kita sudah mempunyai banyak jawatankuasa pengurusan seperti Merchandise dan Outlet, TRW.fm, TRW.com dan sekarang kita ada jawatankuasa mengeluarkan kad keahlian TRW secara komersial.

“Pada masa yang sama, kita juga mahu memastikan semua jawatankuasa kecil, Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ), liga-liga dibawah Kafa dihidupkan. Dalam erti kata lain, Kafa menjadi satu badan yang cukup aktif dan mempunyai naungan pemain dan pekerja yang ramai. Sebab itu agak penting mereka diberikan penjelasan pada hari ini tentang falsafah pengurusan dan pentadbiran Kafa,” katanya.

Annuar berkata, beliau mahu organisasi Kafa diurus tadbir dengan cara yang baik, bergerak aktif dan menjadi satu badan yang telus dalam mematuhi peraturan-peraturan berkaitan kewangan dan kontrak.

“Biasanya badan sukarela sebegini bila sudah berkembang, mereka banyak terlepas pandang dalam banyak perkara. Macam sekarang, Kafa terpaksa menyelesaikan banyak masalah kelemahan pengurusan sejak 15 tahun dulu, seperti tidak ada laporan akaun kewangan yang lengkap, urusan kontrak yang tidak sempurna, sistem audit tunggang-langgang, pinjaman tidak direkodkan dan bermacam-macam lagi.

“Kita ambil perkara itu sebagai satu iktibar. Sebab itu saya mahu pengurusan Kafa dapat memastikan perkara seperti itu tidak lagi berlaku. Pada masa yang sama, saya mahu para pemain mengambil tahu peranan dan tanggungjawab masing-masing terhadap pasukan.

“Menjelang bulan Mac kita akan ada seramai 350 pemain dan berpuluh jurulatih. Sekarang kita ada 100 pemain. Mereka harus tahu mengenai kontrak yang ditandatangani, cara sertai pasukan dan meninggalkan pasukan macam mana. Semua ini mereka perlu ambil tahu dan bertanggungjawab,” katanya.

No comments:

Post a Comment