Saturday, February 12, 2011

KAFA KEMUKAKAN RAYUAN


ANNUAR MUSA

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) telah mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kes bekas tiga tonggak utama pasukannya musim lalu yang memilih untuk beraksi bersama pasukan T-Team walaupun didakwa masih mempunyai ikatan kontrak bersama The Red Warriors.

Jawatankuasa Status FAM dalam keputusannya pada 25 Januari lalu melepaskan tiga pemain Kelantan musim lalu iaitu Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad dan Azizi Matt Rose daripada berhadapan hukuman penggantungan setelah didapati tidak bersalah dalam urusan pelanggaran kontrak bermain bersama pasukan Kelantan musim ini.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa ketika ditemui pada sidang akhbar di Kota Bharu mengesahkan pihaknya telah mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FAM tiga hari lalu.

“Tiga pemain (Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhamad dan Azizi Matt Rose) ini, saya perlu jelaskan kes mereka masih belum selesai. Walaupun Jawatankuasa Status sudah membuat keputusan tetapi jawatankuasa tersebut memberi kebenaran kepada kita membuat rayuan.

“Dua hari lepas Kafa telah mengemukakan rayuan untuk diteliti oleh Jawatankuasa Rayuan. Maka isu tiga pemain ini masih belum selesai sepenuhnya, sebab pertama kita ada proses Jawatankuasa Status, selepas itu kita boleh pergi merayu kepada Jawatankuasa Rayuan dan kalau kita tidak berpuas hati lagi kita boleh merujuk kepada Jawatankuasa Timbangtara sebelum jalan terakhir menfailkan kes di Mahkamah Sivil.

“Bagi Kafa, saya ingin menegaskan kerana ini sesuatu pengalaman yang baru bagi kita dan kita mahu mendapat panduan yang jelas mengenai perkara ini dan ini bukan bersifat soal peribadi terhadap mereka,” katanya.

Annuar berkata, rayuan tersebut tidak bermaksud untuk mempertikaikan keputusan yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Status FAM sebaliknya menggunakan saluran yang ada untuk mengetahui kedudukan sebenar peraturan yang sedia ada dalam menentukan status pemain yang berhijrah ke pasukan lain sebelum tamat kontrak.

“Perkara ini merupakan pertama kali didengar pihak kita mengenai keputusan bahawa tempoh tamat kontrak adalah selepas 30 hari perlawanan terakhir. Memang betul ada dalam kontrak tapi satu persoalan, kalau kita nak bagi notis enam bulan sebelum, macam mana kita nak tahu bila 30 hari selepas perlawanan terakhir kerana kadang-kadang tarikh perlawanan terakhir sentiasa berubah.

“Jadi, kita nak bilang 30 hari daripada tarikh bila. Adakah tarikh yang diisytiharkan yang
mungkin kemudiannya tidak sama dengan tarikh yang ada atau sebenarnya tarikh yang ada atas kontrak. Benda-benda begini perlu diperincikan sebagai panduan masa depan.

Menurut Annuar, pihaknya telah menghantar afidavit tersebut kepada tiga pemain itu untuk dijawab, namun pada masa yang sama Kafa  tidak diberikan hak untuk meneliti afidavit yang dikemukakan oleh pemain itu.

“Mana kita tahu mereka (pemain) jawab betul atau tidak. Kalau dia jawab bohong macam mana? Saya rasa itu perlu dikaji. Begitu juga apabila kita kemukakan afidavit dan mereka juga kemukakan afidavit.

“Kafa langsung tidak dipanggil untuk perbicaraan. Bolehkah kita nak tulis semua masalah atas kertas sahaja. Sudahlah kita tak boleh tanya apa yang dia jawab, kita juga tidak ada peluang di peringkat Jawatankuasa Status untuk memberikan penerangan sebelum keputusan di buat.

Katanya, berdasarkan pengalaman pihaknya, proses tersebut ada kecacatan dan ia perlu dilalui terlebih dahulu sebelum diperbaiki bagi kepentingan semua pihak di masa hadapan.

“Selepas dimaklumkan secara lisan oleh pihak yang terlibat bahawa pihaknya mengemukakan permohonan 'stay of execution' (penggantungan perlaksanaan), Kafa sudah pun berbuat demikian.

“Oleh kerana benda diberi rayuan, kes belum muktamad. Bila kes belum tamat, tiga pemain itu tidak sepatutnya dibenarkan bermain. Macam mana Jawatankuasa Rayuan nak buat keputusan sedangkan budak (pemain) ini sudah main.

“Bila kita tanya tentang rayuan kita, kita dapat surat menyatakan rayuan kita itu telah ditolak berdasarkan pada mesyuarat pada 25 Januari lalu. Kita hairan tarikh permohonan 27 Januari tetapi ditolak pada 25 Januari,” katanya.

No comments:

Post a Comment