Saturday, February 12, 2011

AKSI SULUNG C EMERLANG


KELANTAN 1
Mohd Aris Zaidi (m-11)

JOHOR FC 0

KOTA BHARU – Kelantan membuka tirai perlawanan Liga Piala Presiden dengan aksi bergaya setelah mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan Johor FC dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu petang semalam. 

Beraksi dihadapan hampir 500 peminat setia bola sepak tempatan, gol tunggal jaringan penyerang berbisa, Mohd Aris Zaidi pada minit kesebelas perlawanan sudah cukup memastikan anak buah Zahasmi Ismail mengutip tiga mata penuh pertama di tempat sendiri.

Seawal minit ketiga, Johor FC yang melakukan sepak mula perlawanan menguji pintu gol Kelantan menerusi Muhd Asyrul Wahab namun percubaannya meliar manakala rembatan penyerangnya, Wan Juraidi Wan Sulaiman dua minit kemudian terus kedakapan penjaga gol Kelantan, Judtanna Eh Put.

Tersentak dengan asakan tersebut, Kelantan kembali menyusun gerakan dan pada m-9, Mohd Aris mensia-siakan peluang terhidang apabila gagal menanduk bola ke gawang pintu gol pasukan pelawat hasil sepakan percuma Mohd Syawal Rudin Abdul Razak. 

Pada m-11, Mohd Aris menebus kesilapannya apabila menjaringkan gol kemenangan Kelantan dalam perlawanan ini. Segalanya berpunca menerusi hantaran jauh Mohd Syawal Rudin dari tengah padang kepada Mohd Izuan Salahuddin yang berada didalam kotak penalti dan umpanan pendeknya mudah disempurnakan Mohd Aris yang merembat jarak dekat menewaskan penjaga gol Johor FC, Mohd Fareez Nasiran.

Kelantan turut memperolehi dua peluang terbaik melebarkan jaringan pada m-20 dan m-25 namun tandukan Mohd Zamri Ramli dan Tuan Mohd Norhafiziee Tuan Mahmood sekadar tersasar dan dikeluarkan benteng pertahanan lawan. 

Begitupun semangat juang tinggi anak buah Ramlan Rashid dalam perlawanan ini harus dipuji walaupun ketinggalan pada satu ketika. Dua percubaan terbaik mereka hadir pada m-30 dan m-34 menerusi Wan Juraidi dan Fandi Ahmad namun ketangkasan Judtanna menafikan hasrat mereka untuk menyamakan kedudukan. 

Minit-minit akhir perlawanan pasukan pelawat sekali lagi menghadirkan ancaman merbahaya menerusi serangan balas Muhd Asyrul yang menewaskan pemain pertahanan Kelantan, Faizol Nazlin Sayuti namun hantaran silangnya sempat dikeluarkan pemain pertahanan dalam situasi kelam-kabut didepan pintu gol Kelantan.

Pada awal babak kedua menyaksikan tidak banyak gerakan menarik dilakukan kedua-dua pasukan. Sebaliknya kekentalan benteng pertahanan Kelantan menyaksikan pemain Johor FC begitu sukar untuk membawa masuk bola ke kawasan pintu gol Kelantan.

Pada m-66, percubaan bekas pemain Harimau Muda, Mohd Khairul Izuan Rosli sekadar melepasi pintu gol pasukan pelawat biarpun berada dalam kedudukan yang baik untuk menjaringkan gol.

Minit-minit akhir perlawanan Kelantan nyaris menambahkan gol kedua apabila kesilapan penjaga gol Johor FC, Mohd Fareez gagal menangkap kemas bola direbut pemain gantian, Mohd Azyu Ikmal Mat Nor namun tolakan lemahnya diselamatkan Azmi Omar diatas garisan pintu gol Johor FC.

Kesebelasan utama pemain : 

KELANTAN – Judtanna Eh Put, Mohd Faiz Suhaimi (Mohd Syafiq Haikal Nazaruddin), Faizol Nazlin Sayuti (Mohd Norsyahrul Hawari), Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim (KP), Tuan Mohd Norhafiziee Tuan Mahmood, Mohd Khairul Izuan Rosli, Mohd Syawal Rudin Abdul Razak, Mohd Zamri Ramli, Mohd Izuan Salahuddin, Mohd Aris Zaidi (Mohd Manaf Mansor) dan Mohd Farhan Yaakub (Mohd Azyu Ikmal Mat Nor).

JOHOR FC – Mohd Fareez Nasiran, Azmi Omar, Muhd Afizuddin Ali, Fandi Ahmad, Syed Ahmad Ridzuan, Mohd Azinee Taib (Mohd Rufa’at Mohd Ismail), Mohd Afendi Mohd Eshak, G Loganathan, Muhd Asyrul Wahab (Hazman Hashim), Mohd Iskandar Hanapiah (Muhd Faqroul Faiz) dan Wan Juraidi Wan Sulaiman.

STATISTIK PERLAWANAN
Percubaan tepat : Kelantan (3) Johor FC (2)
Percubaan tersasar : Kelantan (4) Johor FC (5)
Sepakan sudut : Kelantan (7) Johor FC (3)
Sepakan percuma : Kelantan (19) Johor FC (10)
Offsaid : Kelantan (0) Johor FC (4)
Kekasaran : Kelantan (9) Johor FC (14)
Kad kuning : Kelantan (Mohd Izuan Salahuddin) Johor FC (G Loganathan)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :   Lima minit
Penguasaan bola : Kelantan (55%)  Johor  FC (45%)

PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil : Mohd Noor Abdul Rahman
Penolong Pengadil 1: Mohd Rahimi Mohd Nor
Penolong Pengadil 2: Mohd Ezani Said
Pegawai Keempat : Zairul Azril Zakaria
General Koordinator: Mohd Nazmi Mohd Nawi
Komissioner Perlawanan : Mohd Shaufi Mohamad

No comments:

Post a Comment