Tuesday, February 1, 2011

KARATHU LULUS UJIAN SULUNG


Kapten Kelantan, Muhd Badhri Radzi dan Kapten Selangor, Mohd Amri Yahyah bersaing merebut bola di udara.

SHAH ALAM – Tiada kata-kata yang dapat diungkapkan oleh Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu selain daripada perasaan gembira setelah pasukannya berjaya menjulang Piala Sultan Ahmad Shah buat pertama kali dan turut mengakhiri badi tidak pernah menang ke atas pasukan Selangor di Stadium Shah Alam sejak sekian lama. 

Malam semalam, gelanggang keramat Gergasi Merah Kuning menjadi saksi apabila Karathu bukan sahaja berjaya melepasi ujian sulung membantu Kelantan mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Selangor, tetapi menjadi jurulatih pertama membantu skuad The Red Warriors menjulang piala selepas 72 jam diberi tanggungjawab menjadi pengendali yang baru.

Khamis lalu, Karathu, 67 tahun dilantik sebagai pengendali baru Kelantan menggantikan B Sathianathan yang digantung selama enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gara-gara mengeluarkan kenyataan bersifat mengkritik badan induk bola sepak kebangsaan itu kepada pihak media.

“Saya percayai kepada kekuatan pasukan ini walaupun baru tiga hari bersama mereka. Kita mempunyai kebolehan dan serangan berkualiti. Pasukan kita ada kekuatan tersendiri selain kita ada barisan pemain pertahanan muda dan penjaga gol yang beraksi cukup bagus,” katanya kepada Sinar Harian sejurus perlawanan berakhir. 

“Saya hanya mengerahkan benteng tengah untuk bekerja keras mengekang asakan Amri (Yahyah) dan Hardi (Jaafar) dan saya fikir mereka telah melakukan tugasan tersebut cukup baik pada separuh masa pertama.

“Kita mempunyai dua pemain sayap yang cukup bagus iaitu Nurul Azwan (Roya) dan Solehin (Kannasian Abdullah). Mereka memberikan 100 peratus dalam perlawanan ini walaupun saya hanya sempat bersama mereka tiga hari lalu. Ini sesuatu yang bagus untuk Kelantan,” katanya. 

“Ini adalah perlawanan pertama dan saya fikir tiga mata adalah cukup penting bagi kita. Kita akan teruskan momentum ini. Kita akan bina tahap keyakinan tinggi kepada pemain kita bagi menghadapi perlawanan seterusnya.

“Kita mengalahkan Selangor dalam perlawanan ini dan ianya memberikan motivasi yang tinggi kepada pemain kita. Sebagai pemain, mereka harus percaya kepada diri mereka sendiri. Saya selalu cakap kepada pemain bahawa mereka lebih hebat daripada pemain lain. Jangan terlampau merendah diri kepada pemain lawan."

“Saya memuji persembahan keseluruhan pemain Kelantan dalam perlawanan ini. Mereka berhak menang dalam perlawanan ini. Mereka tidak tertekan sebaliknya memberi tekanan pula kepada pemain lawan,” katanya.

No comments:

Post a Comment