Saturday, February 12, 2011

KAFA JAWAB ISU BONUS BEKAS PEMAIN



KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) hari ini menjawab tuduhan berhubung isu bekas empat pemainnya yang mendakwa dinafikan hak pemberian bonus diatas kejayaan membantu pasukan Kelantan menjulang Piala Malaysia buat pertama kali pada musim lalu.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara tersebut sepatutnya tidak timbul kerana segala urusan pemberian bonus oleh Kerajaan Negeri Kelantan dilakukan dengan baik setelah pihaknya menghantar senarai nama pemain dan pegawai pasukan kepada mereka.

“Kerajaan Negeri membayar terus kepada pemain dan pegawai pasukan. Kafa tidak menerima walaupun satu sen duit ganjaran daripada Kerajaan Negeri dan kesemuanya diserahkan kepada pemain dan pegawai pasukan terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Bharu semalam.

“Ada beberapa cek yang dibuat kepada pemain-pemain yang telah meninggalkan pasukan kita. Bagi kes mereka ini, kita terpaksa memaklumkan dahulu kepada Kerajaan Negeri bahawa mereka ini ada tanggung wajib yang tinggal tidak terlangsai.

“Mereka ini telah melakukan perlanggaran disiplin dengan pihak Kafa dan kes ini sedang dibicarakan oleh Jawatankuasa Disiplin Kafa melibatkan denda dan mereka akan dimaklumkan tidak lama lagi. Ini termasuklah tindakan mereka tidak melaporkan diri semula kepada pasukan selepas tamat Piala Malaysia musim lalu,” katanya.

Annuar berkata, ekoran tindakan tersebut pihaknya mengalami banyak masalah melibatkan urusan kontrak, pembayaran gaji terakhir, urusan tempat tinggal dan lain-lain lagi.

“Kerana perbuatan tersebut, maka ada urusan tidak sempurna termasuklah juga surat daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Dan jumlah yang dikenakan ke atas kita melebihi daripada jumlah duit yang ada dengan kita. Kita hanya boleh bayar setakat yang kita mampu.

“Sekarang timbul soal bonus, daripada segi peraturan sepatutnya kita perlu menyelesaikan terlebih dahulu masalah ini tapi oleh kerana ini duit Kerajaan Negeri, jadi kita hanya akan memaklumkan kepada Kerajaan Negeri tentang masalah empat pemain tersebut. Jadi terpulanglah sekiranya Kerajaan Negeri hendak beri juga, saya tidak ada apa-apa halangan.

“Empat pemain terlibat kecuali Hairudin Omar yang dibayar sepenuhnya kerana dia berurusan sepanjang masa dengan kita. Akmal Rizal (Ahmad Rakhli) pula, dia terpaksa menjawab dulu kepada Kafa berhubung tuduhannya mengatakan Kafa tidak membayar bonus sedangkan kita masih belum membayar bonus.

“Kalau dia tidak meminta maaf, kita berhak mengambil tindakan ke atas dia. Dia juga ada surat daripada LHDN yang kita akan serah kepada dia nanti. Terpulang kepada majikan baru dia. Kita akan bayar setakat yang kita mampu, kalau tidak cukup terpulang kepada tanggungjawab pasukan baru. Dia tidak ada kes dengan kita cuma kenyataan dia yang tidak tepat terhadap kita,” katanya.

No comments:

Post a Comment