Tuesday, January 25, 2011

TAJAAN UNTUK PEMBANGUNAN BOLASEPAK KELANTAN

Selaku penaja utama Kelantan musim ini, happy begitu komited untuk membantu Kafa membangunkan program akar umbi bola sepak di negeri ini

KOTA BHARU – Tajaan bernilai jutaan ringgit untuk pasukan The Red Warriors (TRW) oleh pihak happy sebagai penaja utama Kelantan musim ini kini membuka satu lagi dimensi baru dunia pengkorporatan terhadap industri sukan bola sepak di negeri ini.

Tanpa mahu memperincikan jumlah tajaan sebenar, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa berkata, dengan menjadi rakan kerjasama yang strategik, pihak Kafa akan bekerjasama lebih rapat pihak happy untuk merancang pelbagai program bola sepak diperingkat akar umbi di negeri ini.

“Keutamaan kita adalah program pembangunan bola sepak di negeri ini. Kita akan mengaturkan program berbentuk komuniti selain daripada karnival bola sepak diperingkat akar umbi,” katanya ketika dalam sidang akhbar dua hari lalu.

“Selain daripada itu, kita turut akan mengadakan satu program bola sepak untuk mencungkil bakat-bakat baru dengan memilih 30 buah sekolah daripada 10 jajahan di negeri ini bagi mencari pemain-pemain baru.

“Kita akan mewujudkan satu pertandingan liga bola sepak di peringkat akar umbi. Kalangan pemain terbaik yang dipilih akan diserap menjalani latihan di akademi secara berpusat. Kita juga akan mengadakan klinik bola sepak secara menyeluruh disetiap jajahan dengan kerjasama happy,” katanya.

Annuar berkata, sasaran pihaknya adalah untuk memastikan pasukan TRW bukan hanya merupakan sebuah pasukan bola sepak yang disokong oleh peminat bola sepak Kelantan sendiri tetapi juga seluruh peminat bola sepak seluruh negara.

“Kita mahu memperkasakan penjenamaan penaja-penaja yang bersama dengan TRW. Dengan adanya pelbagai program yang akan diaturkan ini, ianya bukan sahaja memberi pendapatan kepada pihak Kafa tetapi juga penaja lain juga akan turut mendapat manfaat yang sama.

“Selain itu, peminat bola sepak juga berpeluang menyertai pelbagai program muat turun, pertandingan melalui sms (sistem pesanan ringkas) akan dilakukan secara berterusan disamping berbagai program lain akan dimaklumkan daripada semasa ke semasa.

“Kini peminat bola sepak berpeluang mengetahui jadual perlawanan, keputusan perlawanan dan berita terkini mengenai pasukan melalui kaedah sms. Semuanya hanya terletak dihujung jari.

Menurut Annuar, peminat bola sepak Kelantan juga berpeluang untuk mendapatkan telefon bimbit dan pek sim edisi terhad TRW yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment