Tuesday, January 25, 2011

ENAM PASUKAN BAKAL BERI CABARAN

ANNUAR MUSA

KOTA BHARU – Dalam menghadapi saingan Liga Malaysia yang lebih kompetitif bermula Sabtu ini, naib juara Liga Super musim lalu, Kelantan kini bukan sahaja berdepan dengan ujian getir untuk berada dalam sasaran kelompok empat pasukan terbaik tetapi juga bakal menghadapi tentangan sengit daripada beberapa pasukan terkuat musim ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa tanpa berselindung mengakui skuad The Red Warriors (TRW) bakal melalui ranjau yang berduri musim ini ekoran persiapan tempang pasukan bagi menghadapi saingan liga musim ini.

“Saya berani katakan bahawa persiapan kita adalah cacat bermula pada awal musim ini kerana kehilangan tiga pemain tonggak utama yang berhijrah ke pasukan lain tanpa mengikut saluran yang betul,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Kafa bersama media semalam.

“Terus-terang saya cakap, masih lagi terbuku dihati saya selaku juara bertahan kita mungkin memerlukan tempoh tiga hingga empat bulan untuk kembali pulih daripada situasi sukar memperkasakan pasukan. Saya tidak boleh bayangkan macamana seseorang pemain yang dikatakan profesional dan menerima gaji berbelas ribu ringgit tidak boleh menulis dua baris ayat kepada kita memaklumkan tidak mahu bermain dengan kita.

“Kecacatan ini ditambah pula dengan persiapan pra-musim kita yang sangat terjejas. Kita tidak boleh mengadakan walaupun satu perlawanan persahabatan kompetitif di Kota Bharu kerana padang stadium mengalami kerosakan yang teruk,” katanya.

Annuar berkata, Kelantan kini bakal menerima ancaman yang hebat daripada enam pasukan dalam Liga Super yang disifatkan mempunyai keghairahan yang luar biasa untuk mengejar kejuaraan liga musim ini.

“Enam pasukan iaitu Selangor, Negeri Sembilan, T-Team, Perak, Harimau Muda, dan KL Felda United FC antara pasukan yang perlu diberi perhatian dan bersedia menjadi pesaing kepada kita. Apa yang saya nyatakan ini bersandarkan pemerhatian saya kepada persiapan serius pasukan masing-masing.

“Selangor satu pasukan yang sentiasa mengekalkan kekuatannya, Negeri Sembilan mempunyai sekurang-kurangnya tujuh atau lapan pemain kebangsaan sementara T-Team, Perak dan KL  Felda United FC juga tidak ketinggalan menjadi sebuah pasukan baru yang lebih hebat.

“Harimau Muda sudah menampakkan kematangan sejak pulang daripada berguru di Slovakia. Apabila kita menentang mereka ianya seumpama kita menentang pasukan Malaysia hanya tiga atau empat pasukan yang standardnya tidak berapa meningkat berbanding musim lalu..

“Sama ada suka atau tidak, kita selaku pasukan juara harus menjadi sebuah pasukan yang mantap. Saya rancang untuk dua tahun dan memperjudikan dengan mengambil pemain muda dan memperbaiki kelemahan pasukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment