Annuar berucap ketika membentangkan usul untuk mewujudkan sebuah syarikat baru menguruskan pasukan Kelantan, di Kota Bharu semalam.
KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan mewujudkan sebuah syarikat baru bagi memastikan urus tadbir pasukan Liga Super Kelantan bagi musim ini berjalan dengan lebih lancar.
Kelulusan bagi mewujudkan sebuah syarikat tersebut telah dipersetujui sebulat suara ketika dibahaskan dalam Mesyuarat Agung Kali Ke-56 Kafa yang diadakan di Pusat Perdagangan Kelantan (KTC), Kota Bharu dua hari lalu.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, syarikat tersebut akan menjadi sebuah syarikat milik penuh pihak Kafa yang akan berperanan mengurus tadbir perjalanan skuad Liga Super Kelantan dan berorientasikan urusan perdagangan.
“Kita akan menjadi sebuah pasukan bola sepak yang pertama yang akan diuruskan sebuah syarikat milik penuh Kafa. Mereka akan menguruskan pasukan The Red Warriors secara berasingan. Segala urusan berkaitan pasukan, pengurusan, pendapatan, penajaan, merchandise akan dibuat secara urusan perdagangan,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Bharu dua hari lalu.
“Tujuannya adalah memastikan syarikat ini berdikari dan dapat menumpukan 100 peratus terhadap pembangunan perniagaan dan menjadikan TRW sebagai sebuah pasukan yang mempunyai kewangan yang kukuh dan perancangan yang lebih teratur.
“Perlaksanaan tidak akan dilakukan secara mendadak sebab kita perlu melantik CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) dan membentuk jawatan-jawatan lain bagi mengendalikan syarikat ini. Kita akan menyelesaikan urusan pendaftaran syarikat terlebih dahulu dan ianya akan dikenali dengan nama The Red Warriors.com Sdn Bhd. Ini akan menjadi entiti baru dan kita akan buka jawatan tersebut kepada mereka yang berkelayakan.
“Perlaksanaan ini akan dilakukan secara berperingkat-peringkat, mungkin sebahagian tugas seperti mendapat penajaaan pada tahun ini kita akan uruskan. Jadi kita berharap syarikat tersebut akan berfungsi sepenuhnya untuk musim liga 2012,” katanya.
Annuar berkata, tujuan mewujudkan sebuah syarikat baru ini adalah bagi membolehkan pihak Kafa memberi tumpuan yang lebih khusus terhadap aspek pembangunan bola sepak di negeri ini.
“Kita akan memberi tumpuan kepada tugas lain seperti memajukan futsal, liga bola sepak tempatan serta mengambil tanggungjawab untuk menguruskan pasukan pelapis lebih efisien lagi. Selain itu, agenda utama kita juga sudah pasti tertumpu kepada usaha untuk memajukan sukan bola sepak diperingkat daerah.
“Kalau tidak melakukan tindakan sebegini, Kafa mungkin dilihat hanya memberi tumpuan terhadap pasukan bola sepak negeri sedangkan program pembangunan bola sepak di negeri ini mungkin ketinggalan. Sebagaimana di EPL, pasukan kelab mereka di kendalikan oleh entiti korporat dan berharap Kelantan dapat mengikut jejak langkah tersebut.
“Saya fikir langkah terbaru ini akan membawa satu pembaharuan dan kemajuan terhadap industri bola sepak di negeri ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment