Sunday, January 2, 2011

KAFA BUKA KEAHLIAN BERYURAN TRW

Annuar menagih kesetiaan peminat Kelantan untuk menjadi ahli berdaftar bersama dengan Kafa pada musim ini.

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berhasrat menjadi persatuan bola sepak pertama di negara ini yang akan mendaftarkan keahlian penyokong-penyokongnya sebagai keahlian beryuran bermula musim ini.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, kalau sebelum ini para penyokong menjadi penonton dengan hanya menunggu membeli tiket, sekarang kita menagih kesetiaan daripada peminat untuk menjadi ahli berdafar bersama dengan Kafa. 

“Sekarang sudah tiba masanya kita menagih kesetiaan daripada para penyokong dan mereka mestilah bersedia dalam bentuk menjadi ahli beryuran kepada pasukan,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Bharu dua hari lalu.

“Kita berharap daripada beberapa ribu penyokong Kelantan, mereka bersedia menjadi ahli bersama kita. Ini juga merupakan salah satu cara membantu pihak Kafa yang merupakan sebuah persatuan sukan yang berdikari di negeri ini agar mempunyai dana sendiri yang dicarumkan oleh ahli-ahli sendiri. 

“Yuran dikenakan sangat rendah dan mereka mendapat dalam bentuk pulangan seperti diskaun dan rebet. Kita tidak ada jual tiket bermusim pada musim ini tetapi pihak pengurusan Kafa memberi jaminan ahli-ahli beryuran akan disediakan tiket kepada mereka dan mereka akan mendapat tiket tersebut dengan harga istimewa berbanding harga biasa,” katanya. 

Annuar berkata, selain daripada itu pihak Kafa juga akan berunding dengan beberapa pihak luarbagi membolehkan pemegang kad keahlian tersebut mendapat keistimewaan yang tersendiri dalam 

“Kita akan berunding dengan beberapa pihak seperti ‘outlet business’ selain merchandise dan kafe (kafe TRW) yang kita miliki sendiri untuk memberikan diskaun dan keistimewaan khas kepada pemegang kad keahlian ini. 

“Untuk itu, kita telah menawarkan yuran keahlian TRW yang mana harganya adalah serendah RM120 sehingga RM5000 bagi musim ini,” katanya. 

Sementara itu,dalam sidang akhbar yang sama Annuar turut menepis tanggapan mengenai kegagalan pihak Kafa menyelesaikan urusan pembayaran gaji pemain bagi bulan November lalu.

“Rasanya tidak ada pemain yang tidak menerima gaji bulan November. Cuma ada beberapa pemain yang tidak terima gaji bulan November, mungkin mereka salah faham. Kita menerima surat daripada LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), rupanya ada pemain yang tak bayar cukai pendapatan mereka.

“Ada yang mencecah RM40,000 hingga RM50,000 . Jadi, gaji itu dipegang untuk membolehkan kita berunding dengan pemain dan kita mahu pemain (sebahagian daripada pemain yang berhijrah) menyelesaikan, maka gaji mereka terpaksa kita potong kerana itu merupakan syarat untuk Kelantan mendaftar (bermain dalam Liga Malaysia musim ini) dan bebas daripada dikenakan tindakan oleh LHDN.

“Pemain yang sudah keluar (berhijrah), kita terpaksa memotong gaji mereka. Bagi pemain yang kekal juga kita berunding dengan mereka bagi membolehkan pemotongan gaji tidak membebankan mereka. Kita hendak pemain Kelantan bebas dari hutang cukai pendapatan malah kita akan melakukan potongan cukai berjadual (PCB) sebagaimana yang disyorkan oleh FAM,” katanya.

No comments:

Post a Comment