Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyampaikan cenderahati kepada Khairul Fahmi Che Mat dalam Majlis Sambutan Kepulangan Wira Negara di Kota Bharu, dua hari lalu.
KOTA BHARU - Kerajaan Negeri Kelantan semalam mengumumkan pemberian hadiah sebuah rumah kepada penjaga gol utama skuad negara, Khairul Fahmi Che Mat diatas kecemerlangan beliau membantu negara muncul juara Kejohanan Piala AFF Suzuki yang berakhir minggu lalu.
Kejayaan skuad Harimau Malaya menjuarai piala tersebut dalam edisi kelapan penganjurannya mengakhiri penantian skuad negara untuk bergelar juara buat pertama kali sejak 14 tahun lalu.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pihak Kerajaan Negeri Kelantan menzahirkan penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada Khairul Fahmi Che Mat diatas kecemerlangan beliau membantu skuad kebangsaan muncul juara dalam kejohanan tersebut.
“Sebagai mengenang budi dan menghargai jasa anak muda kita yang berbakti melalui sukan bola sepak membantu negara menjulang piala, maka pihak Kerajaan Negeri memutuskan menghadiahkan sebuah rumah kepada Khairul Fahmi (Che Mat),” katanya dalam sidang akhbar ringkas selepas meraikan wira negara itu di sebuah restoran di Kampung Cherang Ruku, dekat sini semalam.
“Kita akan tetap beri hadiah. Itu kenyataan saya (pemberian sebuah rumah) dan segala butiran mengenai pemberian hadiah tersebut akan dilaksanakan oleh Abdul Fattah Mahmood (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan).
“Lokasi dan nilai rumah tersebut belum ditentukan. Bila kita dapat hadiah dalam juara bola sepak, kita dapat medal. Hadiah medal ini orang berebut satu dunia. Berapa nilai hadiah ini sebenarnya tidak penting,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Nik Abdul Aziz turut memberitahu bahawa bersukan merupakan satu riadah yang sangat dituntut dalam agama Islam.
“Kita perlu seimbangkan antara tuntutan dunia dan akhirat. Bersukan boleh tetapi kita jangan lupa solat. Solat membentuk keperibadian akhlak yang mulia. Kita jangan terlibat dalam gejala najis dadah.
“Nabi Muhammad saw dahulu pun bersukan juga. Masa saya berumur 11 tahun ketika zaman perang Jepun, saya menunggang kuda dengan beberapa adik beradik saya. Saya menang ketika itu, kerana terlampau gembira saya angkat kedua-dua tangan dan bila biawak lalu kuda pun terkejut dan saya pun jatuh. Sampai sekarang kesakitan itu masih terasa.
Dalam pada masa yang sama, Nik Abdul Aziz turut memberi nasihat kepada bintang muda bola sepak Kelantan itu bagi mengharungi cabaran mendatang setelah dijulang sebagai wira bola sepak negara.
“Dia masih muda dan perlu menjaga diri dengan baik. Dengan bakat yang ada, dia boleh menonjol sampai bila-bila. Kita menghargai bakat dia serta keluarga dia, sebab itu kita berjanji nak beri hadiah rumah kepada dia,” katanya.
No comments:
Post a Comment