Wednesday, January 5, 2011

SAYA TIDAK PANIK - SATHIANATHAN

Pemain pertahanan Kelantan cuba menyekat kemaraan penyerang Sarawak dalam perlawanan persahabatan yang menyaksikan Kelantan tewas 1-2 kepada Sarawak di Kelana Jaya baru-baru ini.

KOTA BHARU – Tiga kekalahan dan satu keputusan seri daripada empat perlawanan persahabatan pra musim skuad Liga Super Kelantan ketika berkunjung ke Lembah Klang pada penghujung Disember lalu tidak merisaukan Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan untuk menekan butang panik tatkala sepak mula Liga Malaysia hanya berbaki kira-kira tiga minggu lagi. 

Dalam siri perlawanan persahabatan itu, Kelantan tewas 4-1 kepada Harimau Muda ‘A’, kecundang 2-1 kepada Sarawak, tewas 4-1 KL Felda United FC serta sekadar seri dengan pendatang baru Liga Perdana musim ini, Sime Darby FC dengan keputusan 1-1.

B Sathianathan ketika dihubungi berkata, keputusan perlawanan persahabatan tersebut merupakan satu pengajaran cukup berguna bagi beliau dan juga para pemain Kelantan dalam mneghadapi sepak mula menentang Selangor bagi merebut Piala Sumbangsih pada penghujung bulan ini. 

“Kekalahan ini memberi pengajaran kepada Kelantan. Kita ada masa kira-kira tiga minggu lagi untuk memperbetulkan keadaan ini dan saya berharap kita mampu mengatasi masalah tersebut sebelum sepak mula Liga Malaysia nanti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Kecergasan pemain belum mencapai tahap yang saya kehendaki. Tumpuan kita selepas ini sudah pasti kepada memperbaiki aspek tersebut dan saya turut akui kegagalan pemain kita untuk bermain secara bertahan dalam perlawanan tersebut juga antara faktor kekalahan kita. Itu juga saya harus perbaiki selepas ini.

“Saya harap peminat faham dan menerima kekalahan tersebut. Memang saya rombak sana, rombak sini kesebelasan pemain dalam perlawanan tersebut dalam mencari keserasian pemain. Saya turut bagi peluang kepada semua pemain turun beraksi. Kita cari kelemahan kita sendiri dan pada masa yang sama kita mencari kekuatan kita. Ini yang harus kita faham apabila kita mengadakan perlawanan persahabatan kompetetif seperti ini,” katanya. 

Sathianathan turut mengakui para pemain Kelantan harus mempunyai kekuatan mental dalam menghadapi saingan liga yang bermula tidak lama lagi kerana sinonim sebagai sebuah pasukan yang bergelar juara Piala Malaysia sudah pasti mengundang semangat luar biasa pasukan lawan untuk menumbangkan Kelantan.  

“Ianya sudah jauh berbeza kerana kita sekarang digelar pasukan juara. Kalau kita jupa mana-mana pasukan sekalipun, pasukan tersebut memang bersemangat untuk mengalahkan kita. Itu sebab saya katakan mental pemain kena berubah.

“Tidak kira pasukan daripada Liga Super atau Liga Perdana, mereka akan sentiasa berusaha untuk mengalahkan Kelantan. Jadi ini merupakan satu peringatan yang penting kepada para pemain bahawa ini merupakan sebahagian daripada tekanan yang terpaksa mereka tempuhi apabila semua pasukan mahu mengalahkan pasukan kita. Mereka kena terima tekanan tersebut asalkan mereka dapat bekerja lebih kuat lagi selepas ini,” katanya. 

Sathianathan turut mengakui jentera serangan Kelantan masih kurang efektif dalam siri perlawanan persahabatan tersebut memandangkan penyerang utama, Norshahrul Idlan Talaha tidak bersama mereka ketika itu kerana mempunyai tugasan bersama skuad kebangsaan.

“Kita tidak menggunakan kekuatan pasukan keseluruhannya dalam empat perlawanan persahabatan itu. Kita tanpa Apek (Khairul Fahmi Che Mat), Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) yang bersama skuad kebangsaan dan kita juga tidak dapat menggunakan khidmat S Subramaniam dan S Chanturu yang masih bergelut untuk pulih daripada kecederaan lama mereka sebelum ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment