Wednesday, January 5, 2011

KAFA PERKENAL PEMAIN JUMAAT INI


DATUK AFANDI HAMZAH

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan memperkenalkan barisan pemain skuad Liga Super Kelantan musim ini dalam satu majlis yang akan diadakan di ruang legar KB Mall, Kota Bharu pada jam tiga petang hari Jumaat ini. 

Timbalan Presidennya, Datuk Afandi Hamzah berkata, serentak dengan majlis itu juga pihak Kafa akan mengumumkan satu jawatankuasa baru Kafa yang baru dibentuk selepas Mesyuarat Agung dan Kongres Pemilihan bagi penggal 2010/2013 yang telah diadakan baru-baru ini. 

“Setelah majlis memperkenalkan barisan pemain skuad Liga Super Kelantan tertangguh sebelum ini atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, maka pihak Kafa amat berbesar hati telah memutuskan untuk mengadakan majlis ini pada Jumaat ini setelah kesemua pemain dihimpunkan kembali menyertai pasukan ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam. 

“Lebih menarik lagi, setelah sekian lama menunggu akhirnya peminat bola sepak tempatan juga berpeluang melihat dengan lebih dekat jersi baru yang akan digunapakai oleh skuad Kelantan dalam pertandingan Liga Malaysia musim ini kerana kita akan turut melancarkan jersi baru tersebut pada Jumaat ini.

“Disamping itu juga, pihak Kafa akan mengumumkan senarai nama syarikat-syarikat yang akan menjadi penaja utama dan bersama skuad The Red Warriors pada musim ini dalam majlis tersebut,” katanya.

Afandi berkata, semua pengunjung yang menghadiri majlis tersebut turut berpeluang merebut hadiah-hadiah istimewa yang disediakan oleh pihak Kafa.

“Sehubungan dengan itu, saya menyeru kepada peminat bola sepak Kelantan, ambillah peluang pada cuti hujung minggu ini dengan hadir beramai-ramai ke majlis ini bagi menyemarakkan lagi industri bola sepak negeri ini. 

 “Selain itu, pihak Kafa juga akan membuka secara rasmi keahlian kepada semua peminat bola sepak Kelantan untuk menjadi ahli berbayar dengan Kafa dengan yuran disifatkan amat berpatutan.

“Bagi peminat bola sepak Kelantan yang mendaftar menjadi ahli pada hari itu juga akan menerima hadiah istimewa daripada pihak Kafa. Kita berharap, para peminat Kelantan bersedia bersama dengan kita, menyokong kita dengan menjadi ahli berbayar. Ada banyak kelebihan bagi yang menjadi ahli ini termasuk mendapat diskaun harga tiket perlawanan.

Afandi juga turut mengumumkan bahawa Pengerusi kelab bola sepak Cardiff City iaitu Datuk Chan Tien Ghee akan turut hadir dalam majlis tersebut sebagai tetamu jemputan khas.

Datuk Chan Tien Ghee merupakan seorang tokoh ahli perniagaan dari Malaysia yang memiliki kelab tersebut yang kini beraksi dalam Liga Divisyen Satu di England.

No comments:

Post a Comment