Sathianathan (kiri) memberi kata-kata perangsang kepada pemain pada waktu rehat separuh masa pertama.
KOTA BHARU – Meskipun sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Pulau Pinang dalam perlawanan persahabatan petang kelmarin namun nada Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan sedikit menceritakan kegembiraan betapa pasukan kendaliannya kini sedang berusaha keras untuk keluar daripada zon sukar persiapan pra-musim setelah mengalami tiga kekalahan berturut-turut baru-baru ini.
Sathianathan berkata, sekalipun turun tanpa dua tonggak iaitu Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat tetapi persembahan Kelantan menampakkan sedikit peningkatan berbanding empat perlawanan persahabatan yang dilalui baru-baru ini.
“Perlawanan persahabatan ini cukup bagus. Kita bermain dengan baik dan mencipta banyak peluang tetapi mensia-siakannya. Kita kena betulkan kelemahan itu. Saya berharap empat perlawanan persahabatan di utara selepas ini akan membantu meningkatkan lagi persembahan pasukan kita,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas perlawanan persahabatan itu petang kelmarin.
“Memang ketiadaan dua tonggak itu menjejaskan corak persembahan pasukan kita. Sekalipun turun tanpa beberapa pemain seperti Daudsu (Jamaluddin) Subra (S Subramaniam), Shakir (Shaari), dan S Chanturu tetapi penguasaan bola kita dalam perlawanan ini cukup baik.
“Kita hilang ramai pemain pada awal musim ini seperti pemain yang cedera termasuk juga ketiadaan dua tonggak pemain kebangsaan. Saya tunggu mereka pulang (daripada sambutan diatas kejayaan skuad kebangsaan muncul juara Piala AFF Suzuki) dan harap selepas ini mereka dapat fokus menjalani latihan bersama dengan kita,” katanya.
Ditanya mengenai prestasi penyerang muda, Mohd Ramzul Zahini Adenan dalam beberapa perlawanan persahabatan yang dilalui sebelum ini, Sathianathan mengakui, beliau belum berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan pemain tersebut.
“Belum memuaskan hati saya lagi. Saingan Piala Emas Raja-Raja dan liga adalah berbeza. Saya kena beri dia masa lagi untuk beliau membuktikan kemampuannya. Saya berharap beliau dapat membuktikan kepada saya.
“Setakat ini kita mengharungi lima perlawanan secara rasmi, kita kalah tiga dan seri dua kali. Persembahan kita semakin meningkat dan hari ini saya gembira kerana kita mempamerkan corak permainan yang baik. Banyak peluang yang kita ada namun tidak dapat membolosi pintu gol pihak lawan tetapi sekurang-kurangnya dalam bola sepak apabila kita mencipta banyak peluang itu yang lebih penting,” katanya.
Kelantan akan menghadapi empat perlawanan persahabatan dengan pertemuan pertama menentang Kedah pada 15 Januari ini diikut USM FC Pulau Pinang (17 Januari), Perlis (18 Januari) sebelum menentang Pulau Pinang sekali lagi pada 21 Januari dalam latihan pra-musim kedua di utara tanah air.
No comments:
Post a Comment