Thursday, January 13, 2011

KELANTAN GAGAL CARI KEMENANGAN SULUNG

Pemain Kelantan, Mohd Rizal Fahmi (terduduk) cuba merampas bola daripada S Sathiakumaran (kiri) dalam kekalutan di dpean pintu gol Pulau Pinang
KELANTAN 1
Mohd Nizab Ayub (m-31)

PULAU PINANG 1
Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid (gol sendiri m-30)

KOTA BHARU – Hasrat skuad Liga Super Kelantan untuk mencipta kemenangan  dalam perlawanan persahabatan menentang Pulau Pinang tidak kesampaian apabila sekadar seri 1-1 dalam perlawanan yang berlangsung di padang Institut Perguruan Kampus Kota Bharu, Pengkalan Chepa petang kelmarin.

Beraksi dihadapan hampir dua ribu penyokong setia, Kelantan mula mengacah seawal minit ke-17 menerusi percubaan pemain tengah, Danial Fadzly Abdullah namun rembatannya terkena palang sementara tandukan Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi dua minit selepas itu hasil sepakan sudut Solehin Kanasian Abdullah pula sekadar melepasi palang pintu gol Pulau Pinang.

Pada m-24, larian ‘overlapping’ Zairul Fitree Ishak mencemaskan benteng pertahanan lawan apabila lorongan bola kepada Solehin Kanasian dirembat kencang tetapi sempat ditepis keluar penjaga gol Pulau Pinang, Megat Amir Faisal Al-Khalidy Ibrahim.

Salah faham yang berlaku diantara Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid dengan penjaga gol Mohd Halim Napi pada m-31 akhirnya membolehkan pasukan pelawat mendahului 1-0 apabila Mohd Rizal Fahmi tertolak bola ke dalam gawang sendiri dalam usahanya menyelamatkan situasi kelam kabut didepan pintu gol Kelantan.

Kegembiraan pasukan pelawat meraikan jaringan tersebut tidak bertahan lama apabila Mohd Nizab Ayub berjaya memadamkan kelebihan gol awal itu menerusi jaringannya seminit selepas itu hasil rembatan jarak dekat di dalam kotak penalti.

Babak kedua, giliran Pulau Pinang mula menguji kekentalan pintu gol Kelantan menerusi percubaan penyerangnya, Abdul Latiff Suhaimi tetapi sedikit melepasi palang.

Pemain tengah, Solehin Kanasian membuktikan beliau calon yang tepat mengisi kekosongan di bahagian tengah apabila sentiasa mencipta gerakan yang menarik dalam perlawanan itu.

Dua gerakan menarik beliau pada m-51 dan 53 perlawanan hampir meletakkan Kelantan didepan tetapi tindakan susulan Mohd Nizab dan Muhd Badhri menyaksikan Megat Amir Faisal Al-Khalidy menjadi penyelamat buat pasukan mereka.

Pemain gantian, Mohd Ramzul Zahini Adenan turut mempunyai dua peluang terbaik menjaringkan gol pada m-64 dan 68 namun tandukannya sekadar melepasi palang dan diselamatkan sekali lagi oleh Megat Amir Faisal Al-Khalidy.

Pasukan Pulau Pinang yang sekali-sekala melancarkan serangan turut mempunyai peluang menjaringkan gol namun ketangkasan Mohd Halim menafikan hajat pasukan pelawat untuk menjaringkan gol. Sepakan percuma Mohd Arsyah Mohd Ayob pada m-71 terus kedakapannya sementara rembatan Rizal Ahmad pada m-75 turut ditepis keluar beliau.

Pada m-85, Kelantan mempunyai peluang keemasan untuk menambahkan jaringan apabila dihadiahkan sepakan penalti setelah Zairul Fitree Ishak dijatuhkan oleh pemain pertahanan Pulau Pinang. Mohd Aris Zaidi gagal menyempurnakan sepakan tersebut apabila sepakannya sekadar terkena tiang gol pasukan pelawat menutup tirai berkesudahan seri 1-1 dalam perlawanan tersebut.

Kedua-dua pasukan sekali lagi akan bertemu aksi timbal balas perlawanan persahabatan pada 21 Januari ini di Pulau Pinang.

Kesebelasan pemain Kelantan : Mohd Halim Napi, Mohd Farisham Ismail (Nik Mohd Shahrul Azim Abd Halim, Wan Rohaimi Wan Ismail (Wan Zaman Wan Mustapha), Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Zairul Fitree Ishak (Mohd Zamri Ramli), Solehin Kanasian Abdullah (Mohd Izwan Salahuddin), Khairan Eroza Razali (Mohd Faiz Suhaimi), Danial Fadzly Abdullah (Mohd Khairul Izuan Rosli), Mohd Nurul Azwan Roya (Mohamad Ab Aziz Ismail), Muhd Badhri Radzi (Mohd Aris Zaidi), Mohd Nizab Ayub (Mohd Ramzul Zahini Adenan).

No comments:

Post a Comment