Thursday, January 13, 2011

TIGA NEGERI DIARAH KEMUKAKAN AFIDAVIT

DATUK TAKIYUDDIN HASSAN

KOTA BHARU – Tiga pasukan iaitu Kelantan, Selangor PKNS FC dan Kuala Lumpur diberi tempoh seminggu oleh Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengemukakan afidavit berhubung dakwaan pemainnya ‘dicuri’ pasukan lain.

Pengerusinya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ketiga-tiga pasukan tersebut sebelum ini telah membuat aduan bahawa beberapa pemain mereka yang masih mempunyai baki kontrak telah berhijrah ke pasukan lain tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Ia (mengemukakan afidavit) merupakan satu prosedur baru yang ditetapkan oleh pihak FAM bagi mengendalikan kes yang membabitkan pertikaian pemain dengan mana-mana pasukan lain yang beraksi dalam Liga Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Bharu semalam.

“Jawatankuasa Status yang bermesyuarat pada Isnin lalu telah meneliti aduan yang diterima daripada ketiga-tiga pasukan itu. Kita membuat keputusan dengan memberi tempoh selama 14 hari kepada kedua-dua pihak mengemukakan afidavit dan menjawabnya kepada kita setelah kita menyemak aduan itu yang menyatakan terdapat dakwaan mengatakan pemain yang mengikat kontrak dengan mereka telah ‘dicuri’ oleh pasukan lain.

“Sebagai contohnya kita beri tempoh tujuh hari kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk mengemukakan afidavit atau pengakuan bersumpah mengenai apa yang didakwa oleh mereka itu bermula tarikh 10 hingga 17 Januari ini.  

“Pihak FAM kemudian akan menyerahkan afidavit ini kepada pemain terbabit untuk dijawab dan pada 26 Januari ini kita akan bersidang sekali lagi untuk melihat kedua-dua afidavit sebelum keputusan dibuat dan jika perlu kita akan panggil kedua-dua pihak untuk disoal siasat,” katanya.  

Menurut Takiyuddin, jika didapati bersalah, hukuman paling minimum bakal diputuskan dengan amaran keras diikuti denda dan kemudian digantung daripada beraksi dalam sebarang pertandingan liga tempatan. 

“Pasukan yang terlibat jika didapati bersalah mencuri pemain pasukan lain, mereka boleh dikenakan denda mengikut bilangan pemain yang ditentukan oleh jawatankuasa atau digantung malah pegawai persatuan bola sepak yang terbabit juga boleh dikenakan tindakan yang sama.

“Kelapan-lapan pemain dan tiga pasukan itu berhadapan dengan hukuman berat termasuk digantung daripada beraksi dalam Liga Malaysia musim ini sekiranya didapati bersalah,” katanya.

Sebelum ini, Kafa telah membuat aduan terhadap pasukan T-Team kerana mendakwa mengambil tiga pemainnya iaitu, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhamad dan Azizi Mat Rose yang masih ada kontrak dengan Kelantan untuk bermain dengan pasukan mereka pada musim ini. 

Sementara, pasukan Selangor PKNS FC pula mendakwa Negeri Sembilan telah mengikat empat pemainnya iaitu Mohamad Alifi Mahmud, G Mahatheran, A Verathan dan Mohd Saufi Mohd Ibrahim yang masih mempunyai baki kontrak tanpa kebenaran manakala Selangor dikatakan mengambil Ketua Pasukan Kuala Lumpur, Azidan Sarudin untuk beraksi bersama mereka musim ini. 

No comments:

Post a Comment