Annuar Musa (tiga,kiri) dan Roslan Rosli menunjukkan jersi baru Kelantan yang tertera jenama happy sebagai penaja utama Kelantan musim ini.
KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yakin pasukan Kelantan dapat beraksi pada sebelah malam sebagaimana musim terdahulu apabila kerja-kerja menaiktaraf lampu limpah dan membaikpulih padang di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu dijangka dapat disiapkan sedikit masa lagi.
Dalam pemeriksaan awal oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM pada 20 Disember tahun lalu, Stadium Sultan Muhammed IV tersenarai antara beberapa gelanggang pertandingan yang tidak mendapatkan kelulusan awal untuk digunakan dalam perlawanan Liga Malaysia musim ini setelah keadaan padang tidak menepati kriteria selain tahap pencahayaannya tidak mencapai tahap minima 800 lux seperti yang ditetapkan.
Sementara, pihak JPKT FAM juga telah mengadakan pemeriksaan kali kedua ke atas padang stadium itu pada 20 Januari lalu namun keputusan mengenainya belum diputuskan setakat ini.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, walaupun status terkini hanya membenarkan Kelantan beraksi pada sebelah petang kerana tahap pencahayaan lampu limpah tidak mencukupi tetapi beliau tetap optimis Kelantan mampu memenuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini.
“Langkah-langkah membaikpulih (padang dan lampu limpah) sedang giat dijalankan sekarang. Saya lihat permukaan padang sudah baik seakrang, malah rumput-rumput juga sudah tumbuh dengan cepat sementara lampu limpah sedang dibaiki
“Kita percaya dalam masa beberapa hari lagi sebelum perlawanan pertama menentang Terengganu pada 1 Febuari, semua kerja-kerja ini akan disiapkan dan kita akan buat rayuan untuk bermain sebelah malam seperti biasa.
“Kalau mengikut status sekarang, kita terpaksa bermain sebelah petang dan kita tertakluk untuk memenuhi syarat yang saya sebutkan tadi dan kita percaya perkara ini dapat disiapkan sebelum akhir bulan ini” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai jumlah sebenar tajaan yang diterima daripada pihak happy musim ini, Annuar tidak mahu memberikan perincian mengenai jumlah tersebut.
“Orang ramai lebih berminat dengan angka. Saya tidak boleh mengulas lanjut kerana masih terdapat beberapa pihak luar kini sedang berunding dengan kita untuk menaja Kelantan musim ini. Ini merupakan salah satu strategi kita,” katanya.
Ditanya mengenai isu penajaan utama Liga Malaysia yang akan bermula minggu depan, Annuar enggan mengulas mengenai perkara tersebut sebaliknya akan mengadakan satu sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 26 Januari ini.
No comments:
Post a Comment