Sunday, January 23, 2011

KELANTAN MENANG BESAR 4 - 0

Penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha terjatuh apabila dibentes oleh pemain pertahanan Pulau Pinang dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bandaraya, Georgetown

PULAU PINANG 0

KELANTAN 4
Norshahrul Idlan Talaha (m-6)
Muhd Badri Radzi (m-23)
Mohd Nizad Ayub (m-60 pen)
Khairan Eroza Razali (m-69)

KOTA BHARU – Kelantan mencatatkan kemenangan kedua daripada empat siri perlawanan persahabatan pra-musim kedua setelah mengalahkan Pulau Pinang dengan kemenangan besar 4-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Bandaraya, Georgetown petang kelmarin.

Dalam perlawanan persahabatan pertama di Kota Bharu pada 12 Januari lalu, kedua-dua pasukan sekadar terikat seri 1-1 hasil jaringan penyerang Kelantan, Mohd Nizab Ayub manakala gol pasukan Pulau Pinang hasil  jaringan sendiri pemain pertahanan Kelantan, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid.

Empat jaringan masing-masing menerusi Norshahrul Idlan Talaha, Muhd Badri Radzi, Mohd Nizad Ayub dan Khairan Eroza Razali sudah cukup untuk memulihkan moral pasukan kendalian B Sathianathan setelah tewas perlawanan demi perlawanan sebelum ini.

Beraksi dalam keadaan cuaca panas yang terik namun ianya tidak menjadi masalah besar kepada barisan pemain Kelantan apabila terlebih dahulu membuka tirai jaringan melalui penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan pada minit keenam perlawanan hasil kesilapan pemain pertahanan tuan rumah. .

Ketua Pasukan, Muhd Badhri meletakkan Kelantan dalam keadaan selesa apabila menjaringkan gol kedua pada min-23 perlawanan. Kesilapan benteng pertahanan tuan rumah yang terlampau memberi ruang kepada ‘playmaker’ Kelantan itu bergerak bebas itu dimanfaatkan dengan sepakan kencangnya menewaskan penjaga gol tuan rumah.

Babak kedua, Kelantan terus memperlihatkan penguasaannya dalam perlawanan itu apabila memperolehi gol ketiga mereka menerusi sepakan penalti pada min-60 yang mudah disempurnakan oleh Mohd Nizab Ayub.

Pada min-69, kali ini giliran pemain gantian, Khairan Eroza Razali pula mencipta nama apabila berjaya menjaringkan gol keempat untuk pasukan Kelantan untuk membunuh semangat juang anak buah Robert Scully untuk sekurang-kurangnya mencatatkan keputusan seri di tempat sendiri.

Ternyata kemenangan ini sedikit sebanyak meletakkan kembali pasukan Kelantan dilandasan yang sebenarnya dalam menghadapi juara Liga Super musim lalu, Selangor dalam perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Shah Alam pada Sabtu depan.

Kesebelasan pemain Kelantan : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Farisham Ismail, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Zairul Fitree Ishak, Danial Fadzly Abdullah, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari, S Chanturu dan Norshahrul Idlan Talaha.

No comments:

Post a Comment