Tuesday, January 25, 2011

NAFI LETAK JAWATAN


B SATHIANATHAN

KUALA LUMPUR – Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan menafikan khabar angin mengenai perletakkan jawatan beliau sebagai pengendali pasukan ekoran hukuman penggantungan ke atas beliau selama enam bulan yang diputuskan oleh Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.

Difahamkan, Jawatankuasa Rayuan yang bersidang petang semalam mengekalkan keputusan hukuman yang diputuskan oleh Jawatankuasa Disiplin tahun lalu.

Sathianathan ketika dihubungi mengesahkan ada menerima keputusan hukuman penggantungan selama enam bulan ke atasnya daripada seorang pegawai FAM melalui panggilan telefon.

“Memang saya ada terima keputusan tersebut melalui telefon daripada salah seorang pegawai FAM yang memaklumkan bahawa rayuan saya ditolak. Namun saya tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara tersebut dan perlu menunggu surat rasmi daripada FAM,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Namun berita mengenai perletakan jawatan saya adalah tidak tepat. Saya tidak meletak jawatan. Saya akan berjumpa dengan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) hari ini untuk membincangkan perkara ini.

“Apa yang saya difahamkan hukuman penggantungan saya selama enam bulan dan berkuasa pada 24 Januari sehingga 23 Julai. Sekiranya hukuman penggantungan selama enam bulan dikekalkan, maka saya tidak boleh terbabit secara aktif dalam sebarang aktiviti berkaitan bola sepak dalam tempoh tersebut,” katanya.

Menurut Sathianathan, ekoran hukuman penggantungan itu beliau menyerahkan sepenuhnya masa depan beliau bersama pasukan The Red Warriors kepada pihak pengurusan Kafa.

“Saya tidak mahu menjadi dalang dan saya kehilangan kerja serta tidak boleh bekerja dalam tempoh tersebut. Saya menyerahkan masa depan saya bersama Kelantan. Saya sudah menghubungi Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa dan akan berjumpa dengan beliau hari ini,” katanya.

Tahun lalu, Sathianathan, 53 tahun, didapati bersalah oleh Jawatankuasa Disiplin FAM serta dikenakan hukuman penggantungan selama enam bulan dan denda RM2,000 atas kesalahan memberi kenyataan kepada media berhubung stadium tuan rumah membabitkan perlawanan Liga Super diantara Perlis dan Terengganu.

Namun beberapa hari menjelang sepak mula perlawanan akhir Piala Malaysia membabitkan pertemuan Kelantan menentang Negeri Sembilan musim lalu, Jawatankuasa Rayuan FAM memutuskan untuk menangguhkan hukuman tersebut setelah beliau membuat rayuan kepada jawatankuasa tersebut.

No comments:

Post a Comment