Thursday, December 2, 2010

KHALID KEMBALI PERKUAT KELANTAN


Khalid Jamlus (tiga,kanan) menyertai sesi latihan bersama skuad Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV, pagi semalam. 

KOTA BHARU – Bekas penyerang Kelantan musim lalu, Muhammad Khalid Jamlus antara tiga pemain yang akan memperkuatkan pasukan Kelantan bagi menghadapi cabaran Liga Malaysia yang akan bermula pertengahan bulan depan.

Selain Muhammad Khalid Jamlus, turut menyertai Kelantan ialah Wan Rohaimi Wan Ismail (Johor FC) dan Danial Fadzly Abdullah (ATM). Wan Rohaimi merupakan anak watan negeri ini yang berkelana hampir sepuluh tahun bermain diluar Kelantan manakala Danial Fadzly pula mempunyai pengalaman beraksi sebagai pemain tengah dan pernah bermain dengan beberapa negeri seperti Kedah, Perak, Perlis dan musim ini beraksi bersama ATM dalam Liga Perdana.

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan ketika dihubungi mengesahkan ketiga-tiga pemain tersebut berada dalam perancangan beliau dan bakal menyarung jersi Kelantan untuk musim depan.

“Khidmat ketiga-tiga pemain ini diambil bagi mengisi kekosongan yang telah ditinggalkan oleh beberapa pemain yang mengambil keputusan berhijrah ke pasukan lain baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Muhammad Khalid (Jamlus) dipanggil bagi memperkuatkan jentera serangan setelah kita kehilangan Hairuddin (Omar) dan Akmal Rizal (Ahmad Rakhli) yang mengambil keputusan berhijrah ke pasukan baru

“Mungkin ramai yang menggandaikan bahawa saya mengambil pemain yang berusia tetapi saya percaya mereka masih mampu memberi sumbangan bermakna buat pasukan Kelantan diatas padang nanti,” katanya.

Menurut Sathianathan, ketiga-tiga pemain tersebut mempunyai banyak pengalaman bermain dengan beberapa pasukan dan dua daripada pemain tersebut pernah dibimbing beliau ketika beliau mengemudi skuad kebangsaan tidak lama dulu.

“Muhammad Khalid (Jamlus) walaupun ramai yang cakap dia sudah tua tetapi merupakan seorang penyerang yang masih berbisa terutamanya ketika mempunyai peluang didalam kotak penalti. Begitu juga Wan Rohaimi (Wan Ismail) mampu memimpin bahagian pertahanan dengan baik ketika beliau bersama Johor FC.

“Sementara Danial Fadzly (Abdullah) walaupun ramai yang tidak mengenali pemain ini, tetapi saya percaya beliau mampu memantapkan bahagian tengah Kelantan nanti. Kita mempunyai banyak pilihan diposisi tersebut.

“Mungkin ramai yang akan melemparkan kritikan terhadap saya kerana mengambil pemain-pemain seperti ini, sama juga seperti musim lalu dimana saya mengambil Hairuddin (Omar) dan Akmal Rizal (Ahmad Rakhli), tetapi mereka telah membuktikan sesuatu sehingga kita mampu bergelar juara pada musim ini,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Khalid dan Danial Fadzly sudah mula menjalani latihan sejak tiga hari lalu manakala Wan Rohaimi dijangka melaporkan diri menjalani latihan bersama skuad Kelantan pada hari ini.

No comments:

Post a Comment