Sairozi Daud hanya mampu terlantar ketika dikunjungi Pengerusi Jawatankuasa Outlet Kafa, Azlan Mohd Yusoff (berbaju hitam) dan Pengarah Kejurulatihan Kafa, Kamaruddin Mohd Noor semalam.
KOTA BHARU – Bekas pemain Kelantan, Sairozi Daud kini terlantar hampir sembilan bulan setelah dikesan mengidap penyakit barah tengkuk sejak awal tahun ini.
Sairozi hanya sempat beraksi sekali sahaja bersama pasukan Johor FC menentang KL Plus FC dalam saingan Liga Super pada bulan Februari lalu sebelum dikesan mengalami penyakit tersebut dan terus menjalani pembedahan di Johor Bahru.
Sairozi, 32 tahun, ketika dihubungi berkata, beliau pernah menjalani pembedahan pada 12 Februari lalu di Hospital Pakar Sultan Abdul Samad, Johor Bahru dan segala perbelanjaan ditanggung oleh pengurusan Johor FC selaku majikannya sebelum ini.
“Pembedahan dilakukan pada bulan Februari lalu dan saya terlantar hampir sembilan bulan disana sebelum dibawa pulang ke kampung halaman pada bulan lalu setelah kontrak dengan Johor FC berakhir sejurus kempen Piala Malaysia,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
“Sehingga kini saya sudah pun menjalani rawatan kimoterapi sebanyak tiga kali dan radioterapi sebanyak 36 kali dan kesakitannya memang terasa sangat-sangat.
“Keadaan masa sekarang, saya mengalami bengkak-bengkak didada dan hanya mampu terlantar diatas tilam sepanjang masa dan tidak terdaya melakukan apa-apa kerja. Saya hanya mampu duduk bersimpul sahaja. Hendak mandi pun susah apatah lagi hendak membuang air,” katanya.
Menurut Sairozi atau lebih dikenali panggilan ‘Abe’ dikalangan peminat bola sepak tempatan berkata, beliau tidak terdaya melakukan apa-apa kerja memandangkan tidak mempunyai daya ketahanan badan yang tinggi dan dinasihatkan berehat sahaja oleh doktor pakar.
“Sejak balik ke kampung halaman bulan lalu, saya tidak lagi menjalani rawatan dihospital kerana saya mengalami kesakitan yang amat sangat. Namun, saya ada juga mendapatkan rawatan tradisional bagi mengubati penyakit ini,” katanya yang kini tinggal di Kampung Pangkal Nering Timur, Pulai Chondong dekat Machang.
Sairozi memulakan kerjayanya selaku pemain bola sepak Kelantan apabila membantu negeri ini memenangi kejuaraan Piala Emas Raja-Raja pada tahun 2004. Setahun kemudian beliau membantu Kelantan muncul juara Piala FAM sebelum diangkat beraksi dalam Liga Perdana tahun berikutnya.
Pada tahun 2007, beliau bersama-sama seorang lain pemain, Azlan Ismail mengambil keputusan berhijrah ke Perlis sebelum memilih berkelana ke Gurun, Kedah bermain bersama kelab Kuala Muda NAZA dalam Liga Perdana. Pada tahun lepas, beliau sekali lagi berhijrah ke Johor, membantu negeri tersebut layak beraksi dalam Liga Super pada musim ini sebelum bersama Johor FC pada tahun ini.
No comments:
Post a Comment