Thursday, December 2, 2010

KELANTAN SEBELAH KAKI KE FINAL


Pemain Kelantan, Rosairil Asrul Mat Noor sempat melepaskan rembatan biarpun dicabar oleh pemain Terengganu dalam pertemuan separuh akhir pertama Kejohanan Puncak Piala Emas Raja-Raja Edisi ke-70 di Kota Bharu malam semalam.

KELANTAN 3
Mohamad Aris Zaidi (m-55, 90)
Muhamad Ramzul Zahini Adenan (m-68)

TERENGGANU 0

KOTA BHARU – Kelantan membawa bekalan selesa setelah mengalahkan Terengganu 3-0 dalam perlawanan separuh akhir pertama Kejohanan Piala Emas Raja-Raja Edisi ke-70 yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam semalam.

Bertandang ke Kuala Terengganu untuk separuh akhir kedua pada Sabtu ini, skuad kendalian Zahasmi Ismail kini meniti landasan tepat untuk melangkah ke pentas final dan dijangka tidak menghadapi masalah besar mempertahankan defisit gol tersebut

Namun Kelantan, juara 13 kali kejohanan ini seharusnya berpesta gol dalam perlawanan malam semalam seandainya jentera penyudah tidak mensia-siakan deretan peluang yang terhidang dalam perlawanan.

Beraksi dalam keadaan padang yang becak, Kelantan dilihat menguasai babak perlawanan namun Terengganu terlebih dahulu mencuri tumpuan seawal minit pertama apabila hantaran cantik Mohd Khairul Ramadhan gagal disambar rakan sepasukannya biarpun pintu gol sudah ternganga.

Pasukan pelawat sekali lagi menjelma asakan merbahaya pada m-3 kali ini menerusi percubaan penyerang Mohd Khairul Nizam Mohd yang sekadar menerjah jaring sisi sebelah kiri pintu gol Kelantan.

Namun, dominasi pemain Kelantan dalam perlawanan tersebut bermula m-5 apabila penyerang muda, Muhammad Izwan Salahuddin melepaskan rembatan dalam kotak penalti dalam situasi kelam-kabut namun penjaga gol Terengganu, Mohd Shahril Saari menyelamatkan keadaan.

Pada m-31, Mohamad Aris Zaidi mensia-siakan peluang terbaik Kelantan apabila menyepak tinggi melepasi palang biarpun hanya berhadapan dengan penjaga gol lawan sementara percubaan Muhamad Ramzul Zahini Adenan pada m-40 sekadar singgah dipalang.

Malam gemilang Kelantan bermula pada m-55 perlawanan. Segalanya bermula apabila Muhammad Izwan bijak melorongkan bola ke dalam kotak penalti dan pantas disambar Mohamad Aris yang meledakkan rembatan jarak dekat menewaskan Mohd Shahril.

Pada m-64, tindakan pemain pertahanan Terengganu menjatuhkan Khairan Eruan Razali  memaksa pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Kelantan. Namun sepakan penalti yang diambil Ahmad Ezrie Shafizi Sazali ditepis keluar Mohd Shahril menyaksikan Kelantan sekali lagi mensia-siakan peluang menambahkan jaringan.

Pada m-68, Muhamad Ramzul Zahini menebus kehampaan rakan sepasukannya itu apabila mudah menanduk masuk sepakan percuma yang diambil oleh Rosairil Asrul Mat Noor.

Pada ketika Kelantan dilihat sekadar hanya membawa bekalan dua gol ke Kuala Terengganu pada Sabtu ini, Mohamad Aris sekali lagi mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol ketiga Kelantan setelah menerima umpanan Mohamad Aras Abdullah dalam situasi kelam-kabut didepan pintu gol Terengganu melengkapkan sebelah kaki kini selesa melangkah ke pentas final yang akan berlangsung pada 11 Disember nanti.

Kesebelasan utama pemain:

Kelantan : Mohd Shahrizan Ismail, Mohd Sani Nawi, Sharudy Aziz (KP), Tuan Mohd Norhafiziee Tuan Mahmood, Mohamed Faiz Suhaimi, Ahmad Ezrie Shafizie Sazali (, Mohd Aras Abdullah), Rosairil Asrol Mat Noor, Khairan Ezuan Razali, Muhammad Izwan Mohd Salahuddin (Mohd Nurhafifi Othman), Mohamad Aris Zaidi, dan Mohamad Ramzul Zahini Adenan (Cik Hisamuddin Hassan).

Terengganu : Mohd Shahril Saari, Md Shaiful Ezrin, Mohd Sobri Abd Rahman, Mohd Shahrul Ezrain Shamsudin(KP), Mohd Khairul Ramadhan, Mohd Zharif Abd Ghani, Wan Mohd Firdaus, Mohd Ridzuan Mazlan (Mohd Fahmi Izzudin), Roslee Ariffin (Mohd Azezy Azli), Wan Alias Wan Jaafar dan Mohd Khairul Nizam Mohd.

No comments:

Post a Comment