Tuesday, November 23, 2010

Tiga ke separuh akhir, Halban berdepan hukuman


Aksi perlawanan diantara Halban FC menentang HPRZ II menyaksikan perlawanan tersebut terpaksa dihentikan kerana berlaku kekecohan oleh penyokong Halban FC.

KOTA BHARU – Saingan Kejohanan Liga Antara Kelab anjuran Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) kini semakin menghampiri kemuncaknya setelah tiga pasukan kelab kini mengesahkan tempat layak ke peringkat separuh akhir.

Tiga kelab yang telah mengesahkan tempat dalam saingan separuh akhir ialah Tualang FC (Kota Bharu), Ismailian FC (Kota Bharu) dan Yusri Kemunting, satu-satu wakil kelab dari Pasir Puteh.

Dalam saingan suku akhir yang berlangsung baru-baru ini, Tualang FC berjaya mengalahkan kelab dari Pasir Mas, MP Jaya  menerusi sepakan penalti 5-4 setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam waktu permainan sebenar.

Dalam perlawanan suku akhir berikutnya, Yusri Kemunting mengalahkan Bunut Payung dengan kemenangan 3-1 sementara Ismailian FC membuktikan kehebatannya dengan mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Lubuk Bongor dari Jeli.

Semnetara itu, keputusan perlawanan suku akhir diantara Halban FC menentang HPRZ II, Kota Bharu belum diputuskan setelah perlawanan terpaksa dihentikan pada minit-minit akhir perlawanan kerana berlaku kekecohan ketika perlawanan itu berlangsung.

Setiausaha Agung Kafa, Mohamad Noordin Awang berkata, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JPKT) Kafa memandang serius kekecohan yang berlaku dalam perlawanan tersebut. 

MOHAMAD NOORDIN AWANG

“Pihak Kafa masih belum memutuskan keputusan perlawanan itu. Jawatankuasa Tatatertib yang dipengerusikan oleh Naib Presiden Kafa sendiri, Datuk Afandi Hamzah akan bersidang pada 24 November ini bagi menentukan bentuk hukuman yang akan diputuskan oleh pihak Kafa.

“Tindakan penyokong dan pegawai pasukan Halban FC memasuki dan cuba membantah keputusan pengadil perlawanan cukup dikesali. Mereka seharusnya tidak boleh melakukan perkara sedemikian.

“Mereka perlu menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan bukannya mencetuskan kekecohan seperti itu. Sekiranya mereka tidak berpuas hati, mereka harus mengikut saluran yang betul dengan mengemukakan bantahan secara rasmi kepada pihak Kafa dan tidak melakukan tindakan sesuka hati,” katanya.

Dalam perlawanan itu, ketika HPRZ II sedang mendahului 2-1,  para penyokong dan pegawai pasukan Halban FC telah memasuki padang dan mencetuskan kekecohan gara-gara tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil perlawanan itu.

No comments:

Post a Comment