Tuesday, November 23, 2010

SYED ADNEY ANGKAT KAKI


Syed Adney dikhabarkan memilih untuk beraksi bersama pasukan Sabah untuk musim depan.

KOTA BHARU – Bekas penjaga gol kebangsaan, Syed Adney Syed Hussein merupakan pemain terbaru yang disebut-sebut memilih meninggalkan skuad The Red Warriors untuk bersama pasukan baru untuk saingan Liga Malaysia musim depan.

Difahamkan, Syed Adney, pemain yang dilahirkan di Liverpool, England memilih haluan berbeza dan bakal mengikat kontrak selama dua tahun untuk beraksi bersama pasukan Sabah dalam kancah Liga Super musim depan.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan, Rosmadi Ismail berkata, pemain berasal dari Selangor itu sendiri memohon pelepasan daripada Pihak Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi membolehkan beliau beraksi dengan pasukan lain musim depan.

“Syed Adney (Syed Hussein) ada memohon kepada Kafa untuk diberi pelepasan beraksi bersama pasukan lain. Kafa sebelum itu telah menawarkan kontrak kepada beliau untuk terus bermain dengan Kelantan musim depan namun beliau telah membuat permohonan kepada kita untuk bermain dengan pasukan lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam. 

ROSMADI ISMAIL

“Mengikut peraturan sedia ada, kita telah mengeluarkan surat tawaran kepada semua pemain tiga bulan lalu. Sekiranya pemain tidak menjawab surat tersebut dalam masa ditetapkan, maka secara automatiknya mereka ditakrifkan setuju kekal bermain bersama Kelantan.

“Sekiranya pemain tidak berminat untuk menyambung kontrak bersama Kelantan, mereka harus menjawab surat tersebut. Perkara telah difahami oleh semua pemain sebelum ini. Namun dalam kes beliau, ianya berbeza sedikit kerana kita mendapat permohonan daripada Persatuan Bola Sepak Sabah (Sabah FA). Kita dalam proses untuk menjawab permohonan mereka,” katanya

Menurut Rosmadi, segala keputusan berkaitan perkara ini hanya akan diputuskan sekembalinya Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa dari luar negara pada pertengahan bulan depan.

“Kita masih belum membuat keputusan secara rasmi berkenaan permohonan pemain tersebut. Kita akan mempertimbangkan permohonan daripada Sabah FA dengan bersyarat mengikut peraturan-peraturan sedia ada.

Sementara itu, Syed Adney ketika dihubungi tidak menafikan beliau akan mewakili pasukan  Sabah untuk saingan musim depan sekiranya rundingan kedua-dua belah pihak berjalan lancar.

“Saya fikir ianya sesuai (mewakili Sabah) untuk saya meneruskan kerjaya sebagai pemain bola sepak. Mungkin disini ianya memberi peluang kepada saya untuk kembali menyarung jersi skuad kebangsaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Walaubagaimanapun, saya perlu menghormati keputusan yang akan dibincangkan oleh kedua-dua belah pihak berkenaan selepas ini. Saya perlu mengikut prosedur yang ditetapkan dan apabila sudah mendapat pengesahan, barulah saya akan buat pengumuman secara rasmi,” katanya.

No comments:

Post a Comment