Tuesday, November 23, 2010

KELANTAN GAGAL KE SUKU AKHIR


Skuad futsal Kelantan gagal layak ke peringkat suku akhir setelah sekadar menduduki tangga kelima kumpulan A musim ini.

KOTA BHARU – Hasrat Kelantan untuk mara ke peringkat suku akhir buat pertama kali dalam Kejohanan Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM 2010 berkecai setelah sekadar seri 3-3 dengan Selangor dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan A yang berlangsung Kompleks Sukan Triways, Shah Alam baru-baru ini. 

Gol penyamaan dalam tempoh minit-minit akhir perlawanan meranapkan impian Kelantan untuk mencipta sejarah buat pertama kali layak ke peringkat suku akhir.

Jurulatih Kelantan, Rozmin Musa berkata, beliau menerima kegagalan tersebut dengan hati terbuka walaupun mengakui kekecewaannya gagal membawa Kelantan melangkah ke suku akhir pada kejohanan musim ini.  

ROZMIN MUSA

“Perbezaan jaringan gol akhirnya meranapkan impian kita untuk ke suku akhir. Kita turun dengan misi untuk mencatatkan kemenangan ke atas Selangor, namun keputusan seri itu meragut harapan kita untuk ke suku akhir,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Para pemain begitu kecewa malahan ada yang menitiskan air mata diatas kegagalan ini. Saya memahami perasaan mereka yang berjuang mati-matian dalam saingan kali ini. Namun itu bukan rezeki kita pada saingan kali ini dan kita harus menerima hakikat.

“Persiapan Kelantan agak terjejas pada perlawanan terakhir menentang Selangor kerana kehilangan tiga tonggak utama yang terlibat didalam peperiksaan universiti namun itu bukan alasan kita disebalik kegagalan ini. Mereka telah ,” katanya.

Tanpa berselindung, Rozmin turut mengakui kekalahan tersebut berpunca daripada kelemahan mutu pengadilan yang mengadili perlawanan tersebut.

“Kita selesa mendahulu 3-2 selama tujuh minit sebelum perlawanan ditamatkan. Namun keputusan pengadil menghadiahkan kad kuning kedua kepada pemain kita memaksa kita hanya bertahan dengan empat pemain pada minit-minit akhir perlawanan.

“Seharusnya pengadil lebih peka dan tidak memberikan kad sebaliknya sekadar memberi amaran lisan memandangkan baki perlawanan tidak sampai seminit ketika itu. Hasilnya sepakan percuma pemain Selangor tepat menerjah jaring menghasilkan gol penyamaan.

“Bukan untuk mengkritik mutu pengadilan, tetapi kita berharap pada masa akan datang pihak FAM lebih peka terhadap mutu pengadilan pada kejohanan akan datang,” katanya.

Sementara itu, pasukan KL Felda United FC membolot hadiah wang tunai RM10,000 selaku juara kumpulan A dan layak ke peringkat suku akhir. Turut mengiringi ke suku akhir ialah Pulau Pinang, Selangor PKNS FC dan Selangor. 

No comments:

Post a Comment