Wednesday, November 24, 2010

Empat pasukan cari slot ke separuh akhir


MOHAMAD NOORDIN AWANG

KOTA BHARU – Saingan peringkat kumpulan Kejohanan Piala Presiden Kafa 2010 menghampiri kemuncaknya apabila tujuh perlawanan yang akan berlangsung hujung minggu ini bakal menentukan empat pasukan yang akan melayakkan diri  ke peringkat separuh akhir nanti.

Kejohanan yang bermula pada pertengahan bulan lalu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM40,000 menyaksikan sebanyak 10 pasukan Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) di negeri ini bertanding bakal merebut trofi kejuaraan.

Setiausaha Agung Kafa, Mohamad Noordin Awang berkata, saingan peringkat kumpulan akan berakhir pada minggu ini apabila tujuh perlawanan daripada dua kumpulan masing-masing akan menentukan empat pasukan terbaik layak ke separuh akhir.

“Saingan kini sudah menghampiri kemuncaknya. Tujuh perlawanan pada minggu ini pasti mendebarkan kesemua pasukan yang bertanding. Mereka akan berentap dibeberapa gelanggang yang berbeza pada Jumaat dan Sabtu ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Kejohanan memasuki edisi ketiga penganjurannya merupakan cetusan idea Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa sendiri yang mahu melihat bakat-bakat muda dari seluruh pelusuk jajahan negeri ini bertanding di peringkat lebih tinggi.

“Sebab itu kita menghadkan hanya pemain dibawah umur bawah umur 20 tahun menyertai kejohanan seperti ini bagi memberi pendedahan awal kepada mereka untuk menyarung jersi negeri suatu hari nanti,” katanya.

Menurut Mohamad Noordin, perlawanan peringkat separuh akhir dijadualkan berlangsung pada 8 Disember depan dan Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu sekali lagi dipilih sebagai gelanggang untuk perlawanan tersebut.

“Penentuan juara kumpulan akan diputuskan selepas minggu ini. Juara kumpulan A akan bertemu naib juara kumpulan B dan begitu sebaliknya.

Sementara itu, Mohamad Noordin turut mengumumkan saingan separuh akhir Kejohanan Liga Antara Kelab juga akan berlangsung pada 3 Disember depan.

“Perlawanan separuh akhir pertama diantara Ismailian FC menentang Tualang FC akan diadakan pada jam 7.45 malam sementara separuh akhir kedua, iaitu pertemuan kelab dari Pasir Puteh, Yusri Kemunting dijangka menentang HPRZ II.

“Begitupun, segalanya bergantung keputusan Jawatankuasa Tatatertib yang akan bersidang esok (hari ini) bagi memutuskan bentuk hukuman kepada pasukan Halban FC yang mencetuskan kekecohan baru-baru ini. Apa yang pasti HPRZ II dijangka diumumkan sebagai pemenang dalam perlawanan tersebut,” katanya.

No comments:

Post a Comment