Wednesday, November 24, 2010

Pemain TRW bantu perangi AIDS


DR HAZURA MAT ZUBIR

KOTA BHARU – Sempena dengan sambutan Hari AIDS Sedunia 2010 pada tahun ini, pemain bola sepak Kelantan bagi musim 2011 diberi penghormatan berganding bahu bersama Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan Majlis AIDS Malaysia untuk mempromosikan kempen membanteras AIDS peringkat kebangsaan kali ini.

Majlis sambutan tersebut bermula di perkarangan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa sehingga mereka akan berkonvoi beramai-ramai ke Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Pengkalan Chepa pada 5 Disember depan.

Dengan tema sambutan pada sambutan kali ini “Banteras AIDS, Tanggungjawab Bersama”, pemain bola sepak The Red Warriors mungkin menjadi pasukan bola sepak pertama yang membantu kempen membanteras penyakit AIDS di negara ini.

Ketua Penolong Pengarah Unit AIDS/STD Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Hazura Mat Zubir berkata, sambutan Hari AIDS Sedunia pada tahun ini akan dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai .

“Pihak kami amat berbangga dengan komitmen yang diberikan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang telah memberi persetujuan bagi membolehkan pemain Kelantan terlibat sama menjayakan program ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Sesuai dengan kejayaan memenangi Piala Malaysia buat pertama kali baru-baru ini, pihak kami melihat pemain bola sepak Kelantan mampu menjadi ‘role model’ membantu pihak kerajaan untuk menjayakan kempen membanteras AIDS ini. 

Sebahagian daripada wakil persatuan yang menghadiri mesyuarat bagi persiapan sambutan Hari AIDS Sedunia peringkat kebangsaan, baru-baru ini.

“Untuk makluman, negeri Kelantan mencatatkan bilangan rekod pesakit AIDS tertinggi di negara ini. Kita mahu masyarakat di negeri ini diberi kesedaran betapa pentingnya mengamalkan cara hidup yang sihat,” katanya.

Hazura berkata, masyarakat tempatan bukan sahaja berpeluang bersua dengan pemain Kelantan tetapi apa yang penting mesej yang akan disampaikan sempena sambutan Hari AIDS Sedunia ini mencapai objektif perlaksanaannya.  

“Kita mahu masyarakat tempatan lebih peka terhadap kempen ini. Sebab itu kita memilih pasukan bola sepak Kelantan sebagai ikon dalam sambutan ini. Mereka (pemain) berpeluang menyampaikan mesej secara lebih dekat kepada masyarakat.

“Selain daripada itu, duta Majlis AIDS Malaysia iaitu Zainal Alam Kadir juga akan turut hadir bersama-sama menyampaikan ceramah berkenaan tentang bahayanya penyakit tersebut,” katanya.

Menurut Hazura, rombongan pemain Kelantan akan menyambut ketibaan Menteri Kesihatan dilapangan terbang itu sebelum berkonvoi beramai-ramai disertai kelab motosikal dan kereta antik Kelantan selain penyokong bola sepak Kelantan sendiri.

1 comment:

  1. lari tajuk sket....guano byk gosip2 player nok gi tepak lain nih

    ReplyDelete