ZAHASMI ISMAIL
KOTA BHARU – ‘Belum tiba masa meraikan kejayaan’. Begitulah peringatan yang dilontarkan pihak pengurusan skuad Piala Emas Raja-Raja Kelantan kepada para pemainnya dalam mencongak perjuangan mereka merebut salah satu tempat ke peringkat separuh akhir.
Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail berkata, beliau tidak mahu pemainnya diulik mimpi dan memandangkan mudah dalam perlawanan separuh akhir kedua menentang Perlis pada Jumaat ini.
“Kita akan turun beraksi seperti biasa menentang Perlis. Tiada tekanan ke atas pemain kita dalam perlawanan ini. Strategi kita ialah bermain seperti biasa sebagaimana dalam perlawanan pertama menentang Perlis di Kota Bharu dua minggu lalu,” katanya ketika dihubungi Sinar harian semalam.
“Apa yang kita lakukan ke atas Perlis (menang 3-0) boleh berulang ke atas kita sekiranya kita tidak berwaspada. Kita tidak boleh terikut-ikut rentak permainan mereka. Bekalan selesa tiga gol bukan satu jaminan mutlak untuk Kelantan mendabik dada melangkah separuh akhir.
“Saya telah ingatkan kepada semua pemain supaya berhati-hati dan bermain mengikut arahan sehingga tiupan wisel penamat. Perlis sudah pasti mahu bangkit mencipta kemenangan walaupun mereka menyedari ketinggalan tiga gol. Mereka mempunyai kelebihan kerana beraksi dihadapan penyokong sendiri,” katanya.
Menurut Zahasmi, tempoh sepanjang rehat dua minggu digunakan sebaiknya skuad Kelantan dengan memperbaiki kelemahan yang menghantui pasukan sebelum ini.
“Dari segi persiapan pasukan, saya masih belum berpuas hati. Dalam perlawanan persahabatan menentang PBJ Bachok baru-baru ini memang kita menang 4-0 tetapi pemain kita tidak memanfaatkan segala peluang yang terhidang dengan baik.
“Saya harap situasi ini tidak berulang dalam pertemuan menentang Perlis nanti. Mereka perlu bijak menggunakan segala peluang yang ada. Saya berharap kita mendapat gol awal bagi membunuh semangat juang pemain tuan rumah.
Zahasmi Ismail (tengah) memberi peringatan kepada para pemainnya dalam sesi latihan terakhir di Kota Bharu semalam
Namun begitu ada perkhabaran gembira daripada skuad Kelantan apabila kesemua pemain bebas daripada masalah kecederaan dan penggantungan perlawanan.
Skuad Kelantan bertolak ke Kangar tengahari semalam dan akan turun beraksi menentang Perlis pada jam 4.45 petang di Stadium Utama Negeri, Kangar pada Jumaat ini.
No comments:
Post a Comment