Saturday, November 27, 2010

PEMAIN KELANTAN JALANI LATIHAN ESOK


B SATHIANATHAN

KOTA BHARU – Tempoh ‘bulan madu’ skuad Kelantan yang memenangi kejuaraan Piala Malaysia berakhir hari ini apabila kesemua pemain Kelantan akan mula melaporkan diri pagi esok dan akan menjalani latihan dibawah kendalian Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan serta pembantunya.

Khidmat Sathianathan bersama pembantunya iaitu Mohd Sideek Samsudin, Mohd Hashim Mustapha dan Ismail Chawalit Abu Bakar dikekalkan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan

Sathianathan berkata, kesemua pemain dijangka melaporkan diri kepada beliau termasuk dua pemain yang baru mengikat kontrak bersama Kelantan, iaitu Mohamad Nurul Azwan Roya dan Mohamad Ab Aziz Ismail selain K Soley yang telah bersama Kelantan sejak dua bulan lalu.

“Semua pemain yang dikekalkan termasuk pemain baru akan mula melaporkan diri dan menjalani latihan di Stadium Sultan Muhammed IV bermula pagi esok. Hanya tiga pemain tidak bersama kita kerana mempunyai tugasan bersama skuad kebangsaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Sesi latihan hari pertama lebih bersifat kepada perjumpaan mata untuk menyelami perasaan semua pemain. Ada banyak perkara yang akan saya sampaikan kepada pemain terutamanya mengenai hala tuju pasukan Kelantan musim depan selain mereka perlu memahami matlamat yang dikehendaki oleh pihak persatuan dan saya sendiri.

Sathianathan (membelakang) dan pembantunya, Mohd Hashim Mustapha akan mengendalikan latihan skuad Kelantan bermula pagi esok

“Lebih penting saya sedang merangka program latihan yang lebih tersusun memandangkan para pemain sudah hampir sebulan tidak menyepak bola. Sebelum ini mereka sibuk dengan perarakan piala dan bercuti hampir dua minggu. Jadi soal kecergasan menjadi perkara utama bagi saya dalam memulakan sesi latihan ini,” katanya.

Sathianathan berkata, meskipun skuad juara Piala Malaysia musim ini kehilangan tiga utama namun itu tidak mematahkan semangat beliau untuk terus melatih Kelantan bagi musim depan.

“Pemain datang dan pergi dan itu lumrah dalam sesebuah pasukan bola sepak. Peminat kena terima hakikat seperti ini. Kalau Kelantan hanya menyenaraikan 14 pemain sahaja, maka 14 pemainlah yang akan saya latih. Kalau 25 pemain, maka 25 pemainlah. Tugas saya adalah melatih pasukan Kelantan tidak kira siapa pun yang menyarung jersi negeri ini,” katanya.

Bermula musim depan, Kelantan menggugurkan tiga pemain iaitu Mohd Halim Napi, Cik Hisamuddin Hassan dan Sharudy Aziz atas faktor usia selain tiga pemain iaitu Hairuddin Omar, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Syed Adney Syed Hussein memilih berhijrah ke pasukan baru.

Sementara itu, bagi mengisi kekosongan tersebut Kelantan mendapatkan khidmat Mohamad Nurul Azwan Roya (Johor FC) dan Mohamad Ab Aziz Ismail (KL Plus), kedua-duanya pemain berasal dari Kelantan untuk memperkuatkan pasukan bagi menghadapi musim depan.

No comments:

Post a Comment