Monday, November 29, 2010

KELANTAN KE SEPARUH AKHIR

Zahasmi Ismail (kiri, terlindung) serius memantau latihan para pemainnya dalam sesi latihan yang berlangsung di padang HUSM,Kubang Kerian petang semalam.

KOTA BHARU –Kelantan mencipta sejarah yang tersendiri apabila layak ke peringkat separuh akhir Kejohanan Piala Emas Raja-Raja edisi ke-70 setelah menyingkirkan juara bertahan musim lalu, Perlis menerusi agregat 5-2.

Pada perlawanan suku akhir pertama di Kota Bharu pada 12 November lalu, Kelantan mengalahkan Perlis 3-0 manakala aksi timbal balas di Kangar pada Jumaat lalu berkesudahan kedua-dua pasukan terikat seri 2-2.

Dalam perlawanan tersebut, Kelantan terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi tandukan Ramzul Zahini Adenan pada m-12 sebelum disamakan oleh pemain tuan rumah sepuluh minit kemudian. Perlis memperolehi gol kedua sebelum separuh masa terakhir sebelum penyerang Kelantan, Mohamad Aris Zaidi berjaya menyamakan kedudukan pada m-73 menjadikan kedudukan terikat 2-2 dalam perlawanan tersebut.

Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail berkata, walaupun berjaya mengikat keputusan seri dengan tetapi beliau belum berpuas hati dengan persembahan keseluruhan para pemainnya dalam perlawanan tersebut.

Zahasmi Ismail

“Persembahan pemain Kelantan dalam perlawanan tersebut disifatkan kurang memuaskan. Mereka dilihat gagal menyesuaikan diri bermain pada sebelah petang. Namun saya anggap itu bukan alasan yang logik daripada pemain saya mengenai perlawanan tersebut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Banyak kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan berlaku dalam perlawanan tersebut lebih-lebih lagi di bahagian pertahanan. Apa yang ingin direncana tidak menjadi dalam perlawanan tersebut.

“Secara keseluruhannya, mereka bermain dibawah tahap keupayaan yang sebenar. Saya berharap kita dapat mengubah kekurangan ini bagi menghadapi Terengganu dalam perlawanan separuh akhir pertama malam esok,” katanya.

Walaubagaimanapun disebalik kejayaan menyingkirkan Perlis itu, Zahasmi turut memuji semangat juang pemain muda pasukan tuan rumahyang bermain secara kolektif dan berupaya menyaingi persembahan pemain Kelantan.

“Kita mempunyai masa tiga hari untuk memperbaiki segala kelemahan pasukan sebelum menentang Terengganu. Secara jujur, saya tidak mengetahui kekuatan pasukan tersebut. Tetapi kejayaan mereka membelasah Perak 5-0 di Kuala Terengganu malam kelmarin membuktikan pasukan ini tidak boleh dipandang rendah,” katanya.

Kelantan akan menentang Terengganu dalam perlawanan separuh akhir pertama Kejohanan Piala Emas Raja-Raja di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam esok sementara Johor akan melayan kunjungan naib juara musim lalu, Kedah di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunus di Larkin.

No comments:

Post a Comment