Saturday, November 27, 2010

KELANTAN YAKIN KE SEPARUH AKHIR


NUDIN AWANG
KOTA BHARU – Andai prestasi semasa menjadi ukuran, skuad Piala Emas Raja-Raja Kelantan dijangka tidak berdepan masalah melangkah mudah ke peringkat separuh akhir dalam edisi ke-70 yang berlangsung kali ini.

Berbekal tiga gol, skuad kendalian Zahasmi Ismail kini berada dilandasan yang tepat untuk merampas kembali piala yang pernah dimenangi dua tahun lalu, namun halangan 90 minit tetap menanti anak buahnya dalam aksi timbal balas di Kangar petang ini.  

Pengurus Pasukan, Nudin Awang berkata, kelebihan tiga gol harus dipertahankan sebaik mungkin dalam menghadapi asakan pemain tuan rumah dalam perlawanan separuh akhir kedua petang ini.

“Segalanya nampak sempurna ketika ini. Kita membawa bekalan selesa bertandang ke Kangar dengan kelebihan tiga gol. Namun begitu saya mengingatkan kepada semua pemain sentiasa berwaspada dengan ancaman pemain tuan rumah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Kita tetap menghormati kemampuan pasukan tuan rumah. Tempoh 20 minit pertama mungkin bakal mengubah keputusan perlawanan ini. Justeru para pemain diingatkan tidak membenarkan pasukan tuan rumah menjaringkan gol dalam tempoh tersebut.

“Kita juga tidak harus leka dengan kelebihan tiga gol itu. Sebaliknya kita harus berusaha mencari gol pertama untuk membunuh semangat juang pemain Perlis. Saya percaya pemain kita tidak memandang mudah pertemuan petang ini.

Menurut Nudin, moral semua pemain berada dalam keadaan baik dan bersedia mempertahankan defisit tiga gol yang dimenangi dalam perlawanan pertama.

“Para pemain juga berjanji untuk berjuang habis-habisan kerana inilah satu-satunya peluang terbaik kita untuk melangkah lebih jauh setelah tersekat diperingkat suku akhir musim lalu.

“Saya optimis kita mampu melangkah ke peringkat separuh akhir pada edisi kali ini. Soal siapa lawan kita diseparuh akhir nanti itu kita fikirkan kemudian,” katanya.

Sekiranya layak ke separuh akhir, Kelantan dijangka bertemu pemenang diantara Terengganu dan Perak dengan aksi separuh akhir pertama bakal berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu pada 30 November ini.

Dalam perlawanan separuh akhir pertama di Kota Bharu pada 12 November lalu, Kelantan menang selesa 3-0 hasil jaringan dua pemain Piala Presiden, Mohamad Izwan Salahuddin dan Mohamad Aris Zaidi sementara satu gol lagi sumbangan bekas pemain Liga Super Kelantan musim lalu, Ahmad Ezrie Shafizi Sazali.

No comments:

Post a Comment