Monday, November 29, 2010

LATIHAN PERTAMA TEMPANG TANPA TONGGAK

B Sathianathan tetap bersemangat mengendalikan sesi latihan pertama skuad Kelantan semalam sekali pun hanya menghimpunkan seramai 13 pemain sahaja

KOTA BHARU – Sesi latihan pertama skuad Kelantan yang bermula pagi semalam tempang setelah hanya 11 daripada 25 pemain yang disenaraikan bagi membarisi skuad Kelantan untuk musim depan melaporkan diri dalam latihan tersebut.

Ketiadaan tiga tonggak utama pasukan musim ini iaitu Ketua Pasukan, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad dan Azizi Matt Rose pula kini mencetuskan spekulasi terbaru kepada peminat bola sepak tempatan mengenai ura-ura penghijrahan mereka ke pasukan baru untuk musim depan.

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan mengesahkan ketiga-tiga pemain tersebut tidak melaporkan diri kepada beliau dalam sesi latihan pertama yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu.

B Sathianathan

“Setakat ini saya belum dimaklumkan apa-apa berita mengenai ketiadaan tiga pemain tersebut. Kebiasaannya semua pemain perlu memberitahu saya sekiranya mereka tidak dapat hadir. Namun saya tidak dimaklumkan mengenai perkara ini dan rakan sepasukan mereka juga tidak dimaklumkan perkara yang sama,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Hanya 11 pemain sahaja melaporkan diri termasuk dua muka baru iaitu Mohamad Nurul Azwan (Roya) dan Mohamad Ab Aziz Ismail. Empat pemain iaitu Muhd Badhri (Radzi), Mohamad Zamri (Ramli) tidak dapat menyertai sesi latihan kerana rumah mereka digenangi air.

“Mohd Farisham (Ismail) terlibat dalam majlis perkahwinan beliau di Seremban manakala Zairul Fitree (Ishak) pula mengalami demam. Saya juga melepaskan dua pemain iaitu Ramzul (Zahini Adenan) dan penjaga gol, Mohd Shahrizan (Ismail) menyertai latihan bersama skuad Piala Emas Raja-Raja Kelantan.

Menurut Sathianathan, sesi latihan diperingkat awal ini lebih tertumpu kepada usaha untuk mengembalikan tahap kecergasan para pemain sebelum pembentukan pasukan diterapkan melalui latihan tektikal.

Sathianathan turut mengesahkan tiga pemain iaitu Khairul Fahmi Che Mat, S Chanturu dan Norshahrul Idlan Talaha kini menjalani latihan bersama skuad kebangsaan bagi menghadapi Kejohanan Piala AFF Suzuki bermula 1 Disember ini.

“Khairul Fahmi (Che Mat) dan Norshahrul (Idlan Talaha) menjalani latihan bersama skuad kebangsaan bermula minggu lalu sementara Chanturu pula terpaksa menjalani rawatan di Wisma FAM,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Jurulatih kebangsaan, K Rajagobal ada menghubungi beberapa hari lalu memaklumkan perkembangan terkini Chanturu dan saya diberitahu beliau terpaksa menjalani rawatan susulan kerana mengalami kecederaan ketika perlawanan Malaysia menentang Iran di Sukan Asia, Guangzhou baru-baru ini.

“Saya juga telah menghubungi pegawai perubatan FAM bagi mengetahui perkembangan terkini dan dimaklumkan Chanturu terpaksa tinggal disana lebih lama bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

1 comment:

  1. x dok hal hok mano nok gi tuh. pemain hok sedia ada pom sedak2 jugok

    ReplyDelete