NUDIN AWANG
KOTA BHARU – Faktor beraksi ditempat sendiri dan sokongan padu penyokong Kelantan dijangka menjadi penentu dalam perlawanan separuh akhir pertama Kejohanan Piala Emas Raja-Raja edisi ke-70 membabitkan pertemuan Kelantan menentang jiran tetangga, Terengganu di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini.
Pengurus Pasukan, Nudin Awang berkata, kelebihan beraksi dihalaman sendiri pada perlawanan malam ini akan digunakan sebaiknya pemain Kelantan bagi mencari bekalan selesa sebelum bertandang ke Kuala Terengganu pada separuh akhir kedua nanti.
“Kita berharap selain faktor beraksi ditempat sendiri, sokongan padu peminat bola sepak tempatan juga turut ditagih bagi menyuntik semangat para pemain kita mencatatkan kemenangan pada perlawanan malam ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian sejurus sesi latihan terakhir petang semalam.
“Untuk itu, kita harus mencari bekalan selesa sekurang-kurangnya empat gol bagi memastikan kita tidak mudah tertekan dalam aksi timbal balas nanti. Saya telah mengarahkan jurulatih, Zahasmi Ismail memperbaiki kelemahan pasukan dalam sesi latihan terakhir hari ini (petang semalam).
“Moral pemain juga berada dalam keadaan baik, bersemangat untuk mencatatkan kemenangan apatah lagi semua pemain bebas daripada kecederaan dan penggantungan perlawanan. Kita akan menurunkan barisan terkuat dengan gandingan bekas pemain Liga Super seperti Sharudy Aziz, Cik Hisamuddin Hassan dan Tengku Hazman Raja Hassan dijangka menjadi taruhan pasukan Kelantan.
Jurulatih, Zahasmi Ismail serius memberi arahan kepada para pemainnya dalam sesi latihan terakhir skuad Kelantan di padang HUSM, Kubang Kerian petang semalam.
Nudin berkata, rangkaian penyerang diketuai Ramzul Zahini Adenan dan Mohamad Aris Zaidi terus diberi kepercayaan oleh pihak pengurusan untuk merobek pintu gol Terengganu dalam perlawanan malam ini.
“Ini peluang untuk pemain membalas kepercayaan yang diberikan oleh pihak pengurusan sebelum ini. Kita mengagihkan bonus setiap kali selepas perlawanan dan diharap ianya menjadi suntikan moral kepada mereka untuk terus beraksi dengan cemerlang pada perlawanan malam ini.
“Walaubagaimanapun, saya tetap mengingatkan para pemain tidak memandang mudah pertemuan menentang Terengganu. Memang benar mereka membelasah Perak dengan jaringan yang besar dalam perlawanan suku akhir baru-baru ini, tetapi itu tidak bermakna kita harus gentar kepada mereka.
“Saya difahamkan mereka turut diperkuatkan dua pemain Liga Super selain pengalaman pengendali, Mohamad Nik yang menjadi penolong jurulatih pasukan Liga Super Terengganu sebelum ini harus kita hormati.
“Saya berharap keadaan cuaca di Kota Bharu berada keadaan baik bagi membolehkan kita menyaksikan satu perlawanan yang menarik diantara kedua-dua pasukan,” katanya.
Kelantan akan menentang Terengganu dalam perlawanan separuh akhir pertama Kejohanan Piala Emas Raja-Raja di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini manakala Johor akan melayan kunjungan naib juara musim lalu, Kedah di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunus di Larkin.
No comments:
Post a Comment