Saturday, November 27, 2010

HALBAN FC KENA HUKUMAN BERAT


MOHAMAD NOORDIN AWANG

KOTA BHARU – Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang bersidang petang semalam menjatuhkan hukuman penggantungan antara enam bulan hingga dua tahun kepada seorang pemain dan pegawai pasukan Halban FC kerana didapati bersalah bertindak ganas terhadap pengadil ketika perlawanan suku akhir Kejohanan Liga Antara kelab, diantara pasukan tersebut menentang pasukan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu  (HPRZ II) pada 14 November lalu.

Setiausaha Agung Kafa, Mohamad Noordin Awang berkata, Jawatankuasa Tatatertib Kafa yang bersidang berpuas hati dengan laporan yang dikemukakan oleh pegawai pertandingan dan memutuskan pihak pengurusan kelab Halban FC didapati bersalah kerana mencetuskan kekecohan ketika perlawanan tersebut.

“Jawatankuasa Tatatertib Kafa yang dipengerusikan oleh Naib Presiden Kafa, Datuk Afandi Hamzah setelah bersidang memutuskan Ketua pasukan Halban FC, Zura Daud digantung selama enam bulan daripada menyertai sebarang pertandingan diperingkat kebangsaan, negeri, jajahan dan mana-mana kejohanan anjuran ahli gabungan Kafa selain denda RM500 setelah didapati bersalah bertindak ganas terhadap pengadil dan menyebabkan perlawanan ditangguh.

DATUK AFANDI HAMZAH

“Selain itu, penolong jurulatih kelab tersebut, Nor Azmi Muhamad Nor turut didapati bersalah dan digantung selama dua tahun daripada menyertai sebarang pertandingan diperingkat kebangsaan, negeri, jajahan dan mana-mana kejohanan anjuran ahli gabungan Kafa selain denda RM1,000.

“Jawatankuasa Tatatertib turut mengenakan denda RM2,000 terhadap pasukan Halban FC setelah didapati bersalah ekoran tindakan para penyokong mereka memasuki kawasan padang permainan, menyerang dan memukul pengadil yang mengakibatkan pengadil mengalami kecederaan dikepala,” katanya.

Mohamad Noordin berkata, walaubagaimanapun, pasukan Halban FC terselamat daripada dikenakan hukuman penggantungan dan dibenarkan menyertai mana-mana kejohanan anjuran ahli gabungan Kafa pada masa akan datang.

“Selain itu, Jawatankuasa Tatatertib Kafa juga turut memberi amaran keras kepada pengurus pasukan pasukan HPRZ II, Jamji Subari setelah didapati ingkar dengan arahan pegawai pertandingan yang memutuskan hanya lima pegawai pasukan dan tujuh pemain simpanan dibenarkan berada dibangku simpanan semasa perlawanan itu berlangsung.

“Pemain pasukan PBJ Pasir Puteh, Amjad Shah Hussain turut digantung selama enam bulan daripada menyertai sebarang pertandingan diperingkat kebangsaan, negeri, jajahan dan mana-mana kejohanan anjuran ahli gabungan Kafa selain denda RM500 setelah didapati bersalah bertindak menghampiri dengan agresif, memarahi dan menolak pengadil ketika perlawanan Piala Presiden Kafa berlangsung di Padang SMK Kubang Kerian Dua, Kota Bharu pada 13 November lalu.

Menurut Mohamad Noordin, hukuman tersebut diharap menjadi pengajaran berguna kepada semua pemain, kelab dan pasukan PBJ yang bertanding dalam mana-mana kejohanan anjuran ahli gabungan Kafa dinegeri ini.

No comments:

Post a Comment