Monday, November 15, 2010

KELANTAN BENAM JUARA BERTAHAN


Kesebelasan utama pemain Kelantan yang beraksi dalam perlawanan suku akhir pertama Kejohanan Piala EMas Raja-Raja menentang Perlis malam semalam.

KELANTAN 3
Ahmad Ezrie Shafizi Sazali (m-41)
Mohamad Izwan Salahuddin (m-55)
Mohamad Aris Zaidi (m-85)

PERLIS 0

KOTA BHARU – Kelantan memperolehi bekalan selesa sebelum bertandang ke Kangar pada 26 November ini setelah mengalahkan juara bertahan, Perlis dengan kemenangan 3-0 dalam perlawanan suku akhir pertama Kejohanan Piala Emas Raja-Raja Edisi ke-70 yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam semalam.

Penguasaan Kelantan dalam perlawanan itu bermula seawal m-11 apabila Ahmad Ezrie Shafizi Sazali yang mendada bola didalam kotak penalti sempat melepaskan rembatan dalam situasi kelam-kabut namun disepak keluar diatas garisan gol oleh pemain pertahanan Perlis walaupun Mohamad Aris Zaidi cuba melakukan tindakan susulan selepas itu.

Dua percubaan terbaik Kelantan hadir pada m-26 dan 30 menerusi sepakan percuma Ketua Pasukan, Sharudy Aziz yang sedikit tersasar sebelah kanan pintu gol manakala rembatan Ahmad Ezrie Shafizi hasil sepakan sudut Mohd Izwan menyaksikan Mohd Izwan Ahmad terpaksa melayangkan badan menepis keluar sepakan tersebut.

Pasukan pelawat yang turut diperkuatkan dengan bekas pemain Liga Super iaitu  Somchat Na Rong dan Andrien Jurad Chamrong hanya sekali sekala melakukan percubaan merbahaya ke pintu gol Kelantan. Satu-satunya peluang terbaik mereka muncul pada m-33 menerusi rembatan kencang Mohd Faiz Subri yang ditepis keluar Mohd Shahrizan Ismail.

Pemain tengah, Ahmad Ezrie Shafizi meletakkan Kelantan mendahului satu gol sebelum para pemain menuju ke bilik persalinan setelah menanduk masuk hantaran lintang Rosairil Asrul Mat Nor pada m-41.

Babak kedua, Kelantan hanya memerlukan sepuluh minit untuk memperolehi gol kedua. Segalanya berpunca apabila Mohamad Aris bijak melakukan hantaran lintang didepan pintu gol Perlis dan  Mohamad Izwan yang tidak dikawal mudah menolak masuk bola tersebut.

Kelantan nyaris menambah jaringan pada m-77 apabila Ramzul Zahini Adenan sempat menjolok bola yang sedikit tersasar sebelah kiri pintu gol Perlis akibat salah faham penjaga gawang dengan pemain pertahanan Perlis.

Biarpun ketinggalan dua gol ketika itu, pasukan pelawat sempat melakukan percubaan merbahaya ke pintu gol Kelantan pada m-82 menerusi Romdhizat Jamian yang menampan sepakan percuma Andrien Jurad sebelum itu.

Kelantan memperolehi gol ketiga menerusi jaringan Mohamad Aris Zaidi yang mudah menolak masuk hantaran lintang Ramzul Zahini pada m-85.

Kekalahan malam semalam memberi tamparan hebat kepada Perlis dalam usaha mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu sementara Kelantan kini berada dilandasan yang tepat untuk memburu kejuaraan kali ke-14.

Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN : Mohd Shahrizan Ismail, Mohd Sani Nawi, Sharudy Aziz (KP), Mohd Safiq Haikal Nazarudin, Nik Mohd Shahrul Azim, Khairan Eruan Razali, Mohamad Izwan Salahuddin, Ahmad Ezrie Shafizi Sazali (Mohamad Aras Abdullah), Rosairil Asrul Mat Nor (Mohd Nurhafifi Othman), Mohamad Aris Zaidi, Cik Hisamuddin Hassan (Ramzul Zahini Adenan).

PERLIS : Mohd Izwan Ahmad, Somchat Na Rong (Mohd Rizal Mohd Zain), Andrien Jurad Chamrong (KP), Ezzrul Ikhmanizar, Hashim Abu Bakar, Mohd Faizal Mohd Zahir (Muhammad Muhaimin), Mohd Ikmal Faiz Azmi, Romdhizat Jamian, Anas Shaharom, Muhd Nasri Ahmad Tauhid dan Mohd Faiz Subri.

No comments:

Post a Comment