Monday, November 15, 2010

21 PEMAIN KEKAL, EMPAT DILEPASKAN

AZMAN IBRAHIM

KOTA BHARU – Seramai 21 pemain skuad The Red Warriors yang menjuarai Piala Malaysia baru-baru ini dikekalkan bagi mengharungi cabaran Liga Malaysia musim 2011 yang dijadualkan bermula awal Januari depan.

Sebahagian besar pemain yang dikekalkan itu merupakan pemain utama yang membarisi skuad kendalian B Sathianathan sepanjang mengharungi liga musim ini. Sementara itu, tiga daripada empat pemain yang tidak diperbaharui kontrak untuk musim depan itu lebih banyak memanaskan bangku simpanan sepanjang musim ini.

Difahamkan beberapa tonggak utama skuad The Red Warriors seperti Ketua Pasukan, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan pemain yang menerima anugerah Pemain Paling Bernilai musim ini, Norshahrul Idlan Talaha antara beberapa pemain yang terus kekal menabur bakti bersama Kelantan untuk musim depan.

Pengurus Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim berkata, sebahagian besar pemain Kelantan musim ini dikekalkan setelah Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pemain-pemain terbabit.

“Daripada senarai 25 pemain musim ini, hanya empat pemain dilepaskan dan mereka diberi kebebasan untuk memilih pasukan baru pada musim hadapan. Teka-teki siapa empat pemain yang dilepaskan akan kita umumkan secara rasmi tidak lama lagi.,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Terlampau banyak khabar angin yang tidak tepat diperkatakan sekarang. Saya tidak mahu ianya mengganggu konsentrasi para pemain terhadap pasukan kita. Kita sudah memberi cuti kepada semua pemain selama dua minggu bermula semalam bagi membolehkan mereka berehat bersama keluarga.

“Banyak perkara perlu diselesaikan sebelum seseorang pemain menandatangani kontrak dengan kita. Daripada soal gaji dan lain-lain perkara, kita akan duduk berbincang dengan setiap pemain. Pihak Kafa juga akan memperhalusi secara terperinci butiran yang terkandung didalam kontrak tersebut sebelum kita mengadakan majlis menandatangi kontrak tidak lama lagi.

Menurut Azman, pihak Kafa mempunyai masa yang cukup dalam membentuk pasukan terkuat untuk musim depan memandangkan tarikh tutup pendaftaran bagi liga musim depan masih berbaki tiga minggu lagi.

“Apa yang boleh saya katakan kita akan membawa masuk beberapa pemain dari luar bagi memperkuatkan pasukan kita. Kita akan mengumumkan senarai 25 pemain selewat-lewatnya hujung bulan ini kerana tarikh tutup pendaftaran pemain ialah pada 8 Disember nanti. Khidmat Ketua Jurulatih, B Sathianathan dikekalkan bagi membimbing pasukan Kelantan dan sebahagian besar pengendali dan pegawai pasukan juga turut dikekalkan.  
Sebahagian pemain The Red Warriors yang menjulang Piala Malaysia baru-baru ini dikekalkan bagi mengharungi Liga Malaysia musim depan.

“Saya berharap para peminat Kelantan tidak gusar dengan situasi ini. Akan tiba masanya nanti untuk kita umumkan secara rasmi. Biarlah pasukan lain mencanangkan tentang pembelian pemain itu – ini, tetapi kita mempunyai cara yang tersendiri dalam melengkapkan senarai pemain kita bagi musim depan,” katanya.

Sementara itu, Kelantan akan menentang Selangor dalam perlawanan pembukaan Liga Super di Stadium Shah Alam pada 8 Januari nanti bagi merebut Piala Sumbangsih. Perlawanan tersebut menemukan Kelantan selaku juara Piala Malaysia menentang Selangor, sebagai juara Liga Super musim ini.

1 comment:

  1. tok sabar nok naik muto halo kor shah alam pulok nih. nok tgk pemain2 baru masuk.

    ReplyDelete