Monday, November 15, 2010

LAPAN KELAB BERENTAP SUKU AKHIR

MOHAMAD NOORDIN AWANG

KOTA BHARU – Saingan Kejohanan Liga Antara Kelab anjuran Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) kini memasuki fasa pusingan kalah mati apabila lapan buah kelab berentap dalam saingan peringkat suku akhir yang bermula semalam.

Lapan buah kelab yang dimaksudkan ialah dan Lubuk Bongor (Jeli), MP Jaya (Pasir Mas), Yusri Kemunting (Pasir Puteh), manakala lima kelab dari Kota Bharu iaitu Bunut Payung , Halban FC, HPRZ II, Ismailian FC dan Tualang FC turut mengisi slot tersebut.

Kejohanan Liga Antara Kelab merupakan antara usaha pihak Kafa dalam memastikan kelab-kelab yang merupakan ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) bermain di peringkat lebih tinggi dalam kejohanan anjuran pihak Kafa dinegeri ini.

Setiausaha Agung Kafa, Mohamad Noordin Awang berkata, perlawanan peringkat suku akhir yang sepatutnya dilangsungkan pada bulan Oktober lalu terpaksa ditangguhkan kerana bertembung dengan  kejohanan Piala Malaysia ketika itu.

“Sebaik sahaja kempen Piala Malaysia berakhir minggu lalu, kita telah mengesahkan sebanyak lapan buah kelab akan berentap dalam saingan suku akhir bermula semalam dan hari ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Daripada 16 buah kelab yang beraksi dalam saingan kalah mati pusingan ketiga sebelum ini, akhirnya lapan buah kelab ini berjaya membuktikan kemampuan masing-masing memburu tempat ke peringkat suku akhir,”

“Setakat ini, pihak Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Kafa berpuashati dengan perjalanan liga kejohanan ini yang disifatkan berjalan dengan lancar walaupun mengalami sedikit kelewatan atas sebab teknikal,” katanya.

Mohamad Noordin berkata, pihak JPKT Kafa telah memutuskan kesemua perlawanan peringkat suku akhir ini akan dilangsungkan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu.

“Perlawanan melibatkan pertembungan MP Jaya menentang Tualang FC dan Halban FC menentang HPRZ II berlangsung semalam. Sementara perlawanan Bunut Payung melawan Yusri Kemunting dan Lubuk Bongor bertemu Ismailian FC akan berlangsung hari ini,” katanya.

Kejohanan Liga Antara Kelab menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 untuk pasukan yang muncul sebagai juara, sementara naib juara akan meraih RM7,000. Tempat ketiga dan keempat masing-masing akan membawa pulang RM4,000 dan RM2,000.

No comments:

Post a Comment