Tuesday, October 5, 2010

Zairul, Akmal Rizal penyelamat Kelantan

Kesebelasan utama pemain Kelantan yang turun beraksi pada perlawanan malam tadi

NEGERI SEMBILAN 2
Shahurain Abu Samah (m-25)
Abdul Halim Zainal (pen m-62)

KELANTAN 2
Zairul Fitree Ishak (m-66)
Akmal Rizal Ahmad Rakhli (m-68)

SEREMBAN – Dua gol dalam tempoh dua minit pada separuh masa kedua menerusi jaringan pemain pertahanan Zairul Fitree Ishak dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli menyelamatkan maruah Kelantan daripada terus dicalar Negeri Sembilan yang terpaksa bermain 10 pemain sepanjang baki 50 minit pada perlawanan pusingan kedua TM Piala Malaysia peringkat kumpulan A, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.

Keputusan terikat seri 2-2 di Paroi malam tadi masih lagi membuka peluang buat Kelantan untuk mengetuk pintu ke peringkat suku akhir saingan musim ini biarpun dalam satu lagi perlawanan kumpulan A, Selangor PKNS FC berjaya mengejutkan KL Plus FC dengan kemenangan 3-2.

Seawal minit ketiga, Kelantan yang turun dengan misi mencari tiga mata mula mengacah melalui sepakan percuma Ketua Pasukan, Indra Putra Mahayuddin namun terus ke dakapan penjaga gol, Mohd Sani Anuar Kamsani.

Selang lima minit kemudian, Negeri Sembilan bangkit mencipta ruang. Kali ini melalui percubaan jarak jauh dari tengah padang oleh Norizam Salaman tetapi mudah dibaca Khairul Fahmi Che Mat.

Pasukan tuan rumah mempunyai peluang terbaik menjaring gol namun Ketua Pasukan, Rezal Zambery Yahya mensia-siakan hantaran lintang Shahurain Abu Samah dengan menanduk lemah pada m-16.

Selang seminit kemudian, pemain veteran Idris Abdul Karim yang melakukan larian solo dari tengah padang sempat melepaskan rembatan namun tersasar daripada pintu gol Kelantan.

Pada m-21, tuan rumah sekali lagi mencemaskan pintu gol pasukan pelawat menerusi sepakan percuma Rezal Zambery namun diselamatkan Khairul Fahmi.


Gol yang ditunggu-tunggu oleh Negeri Sembilan akhirnya muncul pada m-25 perlawanan. Segalanya bermula menerusi gerakan S Kunanlan dari sebelah kanan pintu gol Kelantan yang melorong bola kepada Idris yang kemudian melakukan tolakan ke belakang disudahi dengan rembatan kencang Shahurain Abu Samah menewaskan Khairul Fahmi.

Tersentak dengan jaringan itu, Kelantan bangkit mengatur serangan, namun jentera serangan yang diketuai Hairuddin Omar dan S Chanturu dilihat begitu sukar menembusi benteng pertahanan tuan rumah yang dikawal ketat Mohd Aidil Zakuan Abdul Razak dan Mohd Shukor Adan.

Walaubagaimanapun, Negeri Sembilan terpaksa bermain dengan 10 pemain pada m-39 setelah pemain pertahanan, Rahman Zabul dilayangkan kad kuning kedua setelah mengasari S Chanturu.

Tambah memeritkan keadaan, pada minit-minit akhir  separuh masa pertama, jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan pula diarahkan meninggalkan bangku simpanan pemain kerana membantah keputusan pengadil perlawanan. 
Ketua Pasukan Kelantan, Indra Putra Mahayuddin dicabar oleh pemain pertahanan Negeri Sembilan

Babak kedua, Kelantan mula menukar corak permainan dengan memasukkan penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha menggantikan S Chanturu bagi menghidupkan jentera serangan. Sentuhan pertama Norshahrul Idlan hadir pada m-47 menerusi rembatannya yang terus ke pangkuan Mohd Sani Annuar.

Sementara itu, pemain pertahanan tuan rumah, Mohd Shukor Adan mencuri perhatian peminat mereka pada minit ke-51 menerusi gerakan solonya. Bermula daripada bahagian tengah, Mohd Shukor yang mudah melepasi benteng pertahanan Kelantan seterusnya memperdayakan Azizi Matt Rose sempat melepaskan rembatan kencang dan ditepis keluar oleh Khairul Fahmi.

Kesilapan Azizi menjatuhkan S Kunanlan didalam kotak penalti pada m-62 dihukum apabila pengadil perlawanan, Annuar Che Hussin menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah. Abdul Halim Zainal, pemain yang menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti ketika pertemuan Kelantan menentang Negeri Sembilan pada pusingan pertama di Kota Bharu mudah menyepak masuk menewaskan Khairul Fahmi buat kali kedua.

Tersentak dengan gol kedua tersebut, jurulatih B Sathianathan memasukkan Akmal Rizal Ahmad Rakhli menggantikan Hairuddin Omar yang tidak begitu efektif pada perlawanan malam tadi.

Pada m-66, penyokong setia tuan rumah terdiam seketika apabila pemain pertahanan kiri Kelantan, Zairul Fitree Ishak yang meluru naik ke atas bijak memanfaatkan lorongan Mohd Norfarhan dengan merembat kencang dari sebelah kanan pintu gol Negeri Sembilan menewaskan Mohd Sani Annuar.

Dua minit kemudian, supersub Kelantan, Akmal Rizal menggamatkan ribuan penyokong setia The Red Warriors dengan menanduk masuk hantaran lintang Zairul Fitree seterusnya menghasilkan gol penyamaan buat Kelantan.

Sementara itu, tandukan lemah Azizi pada m-73 sekadar ditangkap mudah Mohd Sani Annuar pada ketika pemain Kelantan dilihat mula mengendurkan serangan ke atas pintu gol tuan rumah.

Negeri Sembilan turut mempunyai peluang terbaik pada m-78 namun tandukan Abdul Halim hasil sepakan sudut rakan sepasukan sedikit tersasar penjuru pintu gol sebelah kiri Kelantan.

Beraksi dengan 10 pemain jelas menyaksikan pasukan tuan rumah lebih banyak bertahan pada minit-minit akhir permainan sementara Kelantan pula gagal menggunakan kesempatan tambahan masa empat minit untuk mencari gol kemenangan.
Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaluddin, Azizi Matt Rose, Ismail, Mohd Rizal Fahmi Abd Rosid, Zairul Fitree Ishak, Muhd Badhri Radzi, Indra Putra Mahayuddin (KP), Wan Zaman Wan Mustapha (Mohd Shakir Shaari), Mohd Norfarhan Muhammad, S Chanturu (Norshahrul Idlan Talaha) dan Hairuddin Omar (Akmal Rizal Ahmad Rakhli)

FORMASI : 4-4-2

NEGERI SEMBILAN : Mohd Sani Anuar Kamsani,  Mohd Rahman Zabul, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak, Mohd Shukor Adan, Tengku Qayyum Ubaidhillah Tengku Ahmad, S Kunalan, Rezal Zambery Yahya (KP), Abdul Halim Zainal, Shahurain Abu Samah dan Norizam Salaman (Qhairil Anwar Roslani),  Idris Abdul Karim, (L Ragesh) (Mohd Asyraf Mohd Al Japri).

FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Negeri Sembilan (5) Kelantan (6)
Percubaan tersasar : Negeri Sembilan (2) Kelantan (2)
Sepakan sudut : Negeri Sembilan (5) Kelantan (5)
Sepakan percuma : Negeri Sembilan (21)  Kelantan (12)
Offsaid : Negeri Sembilan (0) Kelantan (1)
Kekasaran : Negeri Sembilan (11) Kelantan (21)
Kad kuning : Negeri Sembilan (Tengku Qayyum Ubaidhillah Tengku Ahmad) Kelantan (Mohd Norfarhan Muhammad)
Kad merah : Negeri Sembilan (Mohd Rahman Zabul)
Masa tambahan :  Enam minit
Penguasaan bola : Negeri Sembilan (52%) Kelantan (48%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Annuar Che Hussin
Penolong Pengadil 1: Mohd Fazli Ishak
Penolong Pengadil 2: Haslimi Saidin
Pegawai Keempat : Shawal Shariff

2 comments: