KOTA BHARU – Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan tetap mempunyai keyakinan yang tinggi pasukannya mampu mencipta kemenangan ke atas Negeri Sembilan pada perlawanan malam ini biarpun mengakui ranjau berduri kini menanti pasukannya dalam mengintai peluang mengisi salah satu slot ke peringkat suku akhir TM Piala Malaysia musim ini.
“Saya mengingatkan kepada para pemain Kelantan bermain seperti biasa dengan menunjukkan komitmen dan disiplin yang tinggi diatas padang. Tunjukkan yang terbaik bahawa kita boleh mencipta kemenangan pada malam ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian sebelum berlepas ke ibu negara petang semalam.
“Saya mempunyai keyakinan terhadap pemain saya sendiri. Dan pemain juga harus mempunyai sikap yang sama dalam diri mereka. Tidak ada yang mustahil dalam bola sepak.
“Persiapan pasukan tetap berjalan seperti biasa sebelum ini bagi menghadapi Negeri Sembilan. Walau pun tanpa dua tonggak utama sekali pun, barisan pemain yang ada tetap menunjukkan persembahan yang bagus ketika menjalani latihan,” katanya.
Menurut Sathianathan, beliau kini berada dalam dilema sama ada perlu menggunakan khidmat Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat dalam perlawanan malam ini.
“Semuanya bergantung kepada keadaan. Saya tidak mahu memperjudikan karier mereka. Saya memahami mereka begitu penat setelah beraksi dalam tiga perlawanan antarabangsa dalam tempoh enam hari.
“Saya harap peminat Kelantan faham perkara ini. Mungkin mereka berdua berada dalam senarai 18 pemain pasukan hanya akan diputuskan petang esok (ini).
“Begitu pun sedikit melegakan saya apabila khidmat Mohd Norfarhan (Muhammad) kini kembali memperkuatkan pasukan. Sementara itu, tidak ada pemain yang mengalami penggantungan perlawanan,” katanya.
Ditanya mengenai peluang Kelantan layak ke peringkat seterusnya sekiranya tewas pada perlawanan malam ini, Sathianathan secara optimis tetap mempunyai keyakinan mampu membawa pasukan bimbingannya itu ke peringkat seterusnya.
“Kita masih ada dua perlawanan lagi. Secara matematik, dua perlawanan itu kita perlu mengutip mata maksimum.
“Soal siapa lawan kita di peringkat suku akhir itu tidak penting. Ramai yang cakap kita terpaksa bertemu Selangor. Apa yang hendak kita takut dengan Selangor sebenarnya.
“Kalau kita hendak menjadi pasukan berstatus juara kita perlu bersedia menghadapi mana-mana pasukan yang kuat,” katanya.
No comments:
Post a Comment