Wednesday, October 6, 2010

PKNS TETAP MERENDAH DIRI

Abdul Rahman Ibrahim

KOTA BHARU – “Kami akan bermain seperti biasa dan tiada persiapan khas bagi menghadapi Kelantan”. Begitulah pengakuan jurulatih Selangor PKNS FC, Abdul Rahman Ibrahim yang tetap merendah diri ketika ditanya mengenai lawan yang dihadapinya malam ini.

“Kami akan tetap bermain seperti biasa sebagaimana lawan yang kami hadapi sebelum ini. Bertemu dengan sebuah pasukan yang kuat seperti Kelantan merupakan satu penghormatan yang cukup besar bagi kami,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian sejurus tiba di Kota Bharu petang semalam.

“Adat lawan sudah pasti kita lawan. Insya Allah saya mengharapkan satu keputusan yang baik daripada perlawanan ini. Soal menang atau kalah itu merupakan perkara biasa dalam perlawanan bola sepak.

“Tiada tekanan ke atas pemain saya. Mereka akan tetap turun memberikan tentangan sengit. Kalau menang ianya merupakan satu bonus buat pasukan kami,” katanya.

Abdul Rahman berkata, apa yang melegakan ialah pasukannya kini bebas sepenuhnya daripada masalah kecederaan pemain atau penggantungan perlawanan.

“Bermain dalam kempen Piala Malaysia merupakan satu pengalaman yang cukup berguna untuk pasukan kami lebih-lebih lagi dalam kumpulan kami, disertai tiga pasukan daripada Liga Super.

“Saya mahu para pemain saya mengutip pengalaman sebanyak yang mungkin apabila kami beraksi dengan tiga pasukan seperti Negeri Sembilan, Kelantan dan KL Plus FC.

Ketika ditanya mengenai perbandingan pasukannya dengan Kelantan, beliau mengakui pasukannya begitu kerdil kalau dibandingkan dengan ‘nama besar’ seperti Kelantan, tetapi perkara itu tidak menjadi masalah bagi beliau.

“Kelantan merupakan pasukan yang hebat dibarisi dengan pemain-pemain ternama berbanding dengan kami yang tidak mempunyai seorang pun pemain bertaraf bintang.

“Tetapi itu bukan menjadi masalah besar bagi kami. Kami anggap perlawanan yang kami tempuhi ini sebagai satu hiburan. Berbeza pula dengan Kelantan yang menanam impian menjulang Piala Malaysia musim ini setelah sekadar muncul naib juara tahun lalu,” katanya.

Dalam perlawanan pusingan pertama di Kelana Jaya bulan lalu, Kelantan berjaya mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas tuan rumah hasil jaringan Akmal Rizal Ahmad Rakhli pada minit ke-71.

No comments:

Post a Comment