Tuesday, October 19, 2010

SEMANGAT 1993 KIAN MEMBARA

KOTA BHARU – Pertemuan separuh akhir pertama TM Piala Malaysia, Kedah menentang Kelantan di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam esok boleh diibaratkan ulangan pertemuan separuh akhir Piala Malaysia 17 tahun lalu.

Pada perlawanan separuh akhir pertama di Alor Setar, Kedah berjaya menewaskan Kelantan dengan kemenangan tipis 3-2. Dua gol skuad Kelantan ketika itu dijaringkan oleh Hashim Mustapha dan Tuan Kamree Tuan Yahya.

HASHIM MUSTAPHA

Sementara dalam aksi timbal balik di Kota Bharu, Kelantan kecundang 0-1 dalam aksi panas di Kota Bharu menyaksikan pengadil perlawanan ketika itu, Mohd Jamil Zakaria dari Perak diserang oleh salah seorang penyokong Kelantan gara-gara tidak berpuas hati dengan keputusan beliau.

Ketika itu skuad Kelantan yang dipimpin jurulatih berpengalaman, M Karathu menyenaraikan barisan pemain seperti Wan Kamaruzaman Mohamad, Zahasmi Ismail, Aziz Mustapha, S Silvarajoo, Zami Mohd Nor, Mohd Zaidi Napiah, Tuan Kamree Tuan Yahya dan Hashim Mustapha dibantu pemain import Dimitri Kalkalnov, Micheal Anthony Roki dan perancang tengah Marco Kraljevic.
Zahasmi Ismail

Sementara skuad Kedah ketika itu yang dibimbing oleh Robert Rene Alberts membariskan pemain seperti kapten Mohd Radhi Mat Din, Ahmad Sobri Ismail, Lee Kin Hong, Mohd Feriza Ismail, Mohd Farouk Ismail, Lee Thean Ewe, Farizuan Che Hamid, S Thanasegar, Mohd Nidzam Adzha Yusuff disamping tenaga import Tibor Szaban, Olubunmi Adigun dan Peter Nieketien dari Nigeria.

Tetapi itu cerita lama dimana hasrat Kelantan dinafikan oleh Kedah. Malam esok, barisan pemain Kelantan dibawah kendalian B Sathianathan sekali lagi akan merasai situasi yang sama mengharungi puluhan ribu penyokong setia Hijau Kuning di Alor Setar.

Bersandarkan keyakinan yang tinggi, skuad yang membariskan pemain berpengalaman seperti Indra Putra Mahayuddin, Muhd Badhri Radzi, Akmal Rizal Ahmad Rakhli pasti mempunyai misi yang tersendiri harus selesaikan di Alor Setar.

Ada dendam yang tersendiri setelah Kedah berjaya menyingkirkan Kelantan dipusingan kedua kempen Piala FA musim ini angkara peraturan gol ditempat lawan. Sudah pasti situasi sama tidak mahu berulang lagi setelah hasrat mendakap piala tersebut dinafikan oleh Sang Kenari.

Berbekalkan semangat 1993, sudah pasti anak buah B Sathianathan tidak mahu berputih mata untuk memburu kejuaraan piala paling berprestij di negara ini. Hanya selangkah lagi untuk melangkah ke pentas akhir dengan syarat Kedah harus disingkirkan dalam perlawanan separuh akhir pertama malam esok.

1 comment: