Sempena perlawanan terakhir pasukan Kelantan di gelanggang sendiri melibatkan pertemuan Kelantan menentang Kedah pada separuh akhir kedua Sabtu ini, pihak Kafa telah memperkenalkan penjualan tiket secara pakej dengan para peminat berpeluang mendapatkan koleksi barangan keluaran Kafa secara tidak langsung.
Norazwadi Nordin dari Pasir Mas berkata, beliau mewakili peminat bola sepak dari daerah itu mengalu-alukan langkah terbaru yang diperkenalkan oleh pihak Kafa dalam usaha memberi kemudahan kepada peminat untuk mendapatkan tiket perlawanan separuh akhir kedua yang akan berlangsung pada Sabtu ini.
“Saya telah menempah sebanyak 30 keping tiket bagi perlawanan pada Sabtu ini. Selain mendapat jaminan memiliki tiket tanpa perlu beratur panjang, apa yang penting dengan cara ini kita dapat menghapuskan gejala ulat tiket yang sentiasa bermaharajalela setiap kali melibatkan perlawanan berprofil tinggi seperti perlawanan separuh akhir ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
“Selain daripada itu, saya juga dapat membeli produk keluaran Kafa seperti jersi dengan harga berpatutan. Begitu juga dengan produk seperti poster kalendar, walaupun sudah menuju ke akhir tahun sekurang-kurangnya barangan seperti ini boleh dijadikan kenangan untuk musim ini.
Bagi Nor Azman Mohd yang tinggal di Kuala Lumpur, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak Kafa diatas keprihatinannya yang memahami kesukaran peminat Kelantan yang berada diluar negeri untuk mendapatkan tiket perlawanan.
“Sebagai peminat setia Kelantan yang tidak pernah berkesempatan menyaksikan perlawanan di tempat sendiri kerana gagal mendapatkan tiket, saya melihat langkah yang dilakukan ini merupakan satu langkah yang positif ke arah mengurangkan gejala ulat tiket daripada terus berleluasa.
“Dengan adanya pakej ini, saya dan rakan-rakan bersepakat membeli tiket Astaka bernilai RM150 setiap satu sebanyak sebanyak 12 keping daripada pihak Kafa. Saya amat berpuas hati kerana selain dapat menyumbang kepada pihak Kafa, saya juga mendapat terus barangan keluaran Kafa. Lebih menarik lagi, walaupun saya berada di Kuala Lumpur tetapi saya dapat membeli terus secara ‘online’,” katanya.
Sementara itu seorang lagi penyokong setia Kelantan, Mohammad Shairy Draman berkata, beliau turut memuji tindakan oleh KAFA yang telah mengambil inisiatif pada perlawananSabtu ini dengan memperkenalkan penjualan tiket secara pakej.
“Tiket-tiket perlawanan untuk setiap perlawanan yang membabitkan pasukan Kelantan terutamanya di gelanggang keramat iaitu Stadium Sultan Muhammad IV, habis dijual sebelum perlawanan dimulakan.
“Bayangkanlah tiket yang sepatutnya dijual secara sah dengan harga RM15 bagi tempat duduk terbuka dan RM30 bagi astaka setiap satu, kini telah terbukti dijual dengan harga RM25 dan RM50. Pihak Kafa tidak patut dipersalahkan sepenuhnya di atas aktiviti haram yang dijalankan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini, “ katanya.
Menurut Mohammad Shairy, walaupun telah banyak usaha dilakukan bagi membendung gejala ulat tiket yang sememangnya mencari makan dan mengambil kesempatan di atas kegilaan bola sepak di Kelantan, namun perkara tersebut tetap berlaku.
“Dengan adanya sistem penjualan tiket secara tempahan ini, secara tidak langsung memberi banyak kemudahan kepada orang ramai disamping berpeluang mendapatkan barangan keluaran Kafa dengan harga yang murah,” katanya.
No comments:
Post a Comment