Tuesday, October 19, 2010

KERAJAAN NEGERI SEDIA PERTIMBANGKAN


KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan bersedia mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berhubung dengan penambahbaikan kemudahan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa dalam sidang akhbarnya semalam, memberi cadangan kepada Kerajaan Negeri untuk menambahbaik kemudahan di stadium termasuk menambah bilangan tempat duduk sekitar 10,000 di bahagian tempat duduk terbuka.

Exco Pembangunan Modal Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Abdul Fattah Mahmood berkata, pihak Kerajaan Negeri bersedia meneliti cadangan yang dikemukakan oleh mana-mana pihak termasuk Kafa asalkan ianya memberi manfaat kepada kemajuan sukan khususnya bola sepak di negeri ini. 

ABDUL FATTAH MAHMOOD

“Kita berharap pihak Kafa dapat menyediakan satu kertas cadangan yang lengkap untuk dikemukakan kepada Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) yang bertanggungjawab mengawal selia pengurusan stadium ini akan mengadakan perbincangan lanjut berkenaan cadangan tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Kita tidak mengamalkan dasar tutup pintu, malahan Timbalan Menteri Besar selaku Pengerusi PSK sendiri turut mengalu-alukan cadangan daripada pelbagai pihak bagi menambah baik satu-satunya stadium yang terdapat di negeri ini.

“Sebarang usaha menaik taraf stadium tersebut perlu dilakukan kajian yang teliti memandangkan  struktur binaan stadium tersebut sudah pun mencecah puluhan tahun,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai tawaran yang dikemukakan Kafa berhubung pengambilalihan pengurusan stadium, Abdul Fattah berkata, beliau tidak nampak mengenai keperluan menerima tawaran tersebut

“Kita sudah ada perbadanan (PSK) sendiri. Perbadanan pun tidak mempunyai apa-apa masalah setakat ini. Jadi saya percaya tidak ada sebab bagi pihak Kerajaan Negeri menerima opsyen yang dikemukakan oleh pihak Kafa.

“Saya sebenarnya lebih suka kita menambah bilangan stadium (membina stadium baru). Kita menyokong hasrat tersebut (pembinaan stadium baru) tetapi agak malang ianya tidak dapat direalisasikan semasa pembentangan Bajet 2011 baru-baru ini.

“Dalam konteks sekarang, dengan sokongan yang begitu ramai oleh penyokong Kelantan, sudah pasti stadium sekarang tidak dapat menampung kapasiti jumlah penonton. Jadi kita sebenarnya berharap sangat-sangat satu stadium baru dapat diwujudkan di negeri ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment