Saturday, October 23, 2010

SAMBUT BAIK PENYOKONG KEDAH


Nik Mohd Sallehuddin Nik Abdul Razak

KOTA BHARU - Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net) mengalu-alukan kedatangan rombongan penyokong setia Hijau Kuning ke Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu pada Sabtu ini sempena perlawanan separuh akhir kedua TM Piala Malaysia, pertemuan Kelantan menentang Kedah.

Timbalan Presidennya, Nik Mohd Sallehuddin Nik Abdul Razak berkata, sambutan baik yang diberikan oleh penyokong Kedah ketika penyokong Kelantan berkunjung ke Stadium Darul Aman membuktikan semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh kedua-dua penyokong perlu diteruskan pada masa akan datang.

“Pihak Kelate.Net mengucapkan terima kasih kepada penyokong setia Kedah yang begitu mesra dan menyambut baik kedatangan penyokong Kelantan ke Stadium Darul Aman malam semalam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Ini membuktikan kedua-dua penyokong sudah matang dan tidak mahu sebarang insiden buruk berlaku seperti mana zaman menyaksikan perlawanan bola sepak dua puluh tahun dahulu berulang lagi. Saya percaya baik penyokong Kelantan mahupun Kedah tidak mahu sukan bola sepak dicemari dengan insiden ganas.

Menurut Nik Mohd Sallehuddin, beliau berharap penyokong Kelantan bersikap realistik dan bersedia menerima mana-mana penyokong pasukan pelawat yang mahu ke Kota Bharu.

“Justeru, kita berharap semua penyokong Kelantan menyambut baik kedatangan penyokong Hijau Kuning itu sambil mencontohi disiplin yang ditunjukkan oleh penyokong mereka ketika menerima kedatangan penyokong kita di Alor Setar,” katanya.

No comments:

Post a Comment